Skip to main content

Malaysia

Lima lelaki ditahan, baja dan peralatan proses bernilai RM771,000 dirampas

81757501178_TBgari.jpg
Lima individu yang ditahan terdiri daripada tiga warga tempatan berumur 34 hingga 51 tahun, seorang warga Indonesia dan warga Myanmar masing-masing berusia lingkungan 30 hingga 40-an. - Gambar hiasan

TASEK GELUGOR: Polis menahan lima lelaki termasuk dua warga asing berserta pelbagai mesin dan jentera memproses baja, sebuah lori serta 47,000 kilogram (kg) baja yang keseluruhannya bernilai RM771,000 dalam serbuan menerusi Op Khas Taring Bravo 3 di sebuah kilang di sini, semalam.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Balveer Singh berkata kesemua mereka termasuk seorang lelaki masing-masing warga Myanmar dan Indonesia itu dipercayai terlibat dalam memproses baja sebatian serta kimia secara haram, iaitu tanpa sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kilang itu telah menjumpai sejumlah besar kuantiti baja yang sedang diproses, beberapa jenis mesin dan jentera yang diguna pakai untuk pemprosesan.

"Hasil siasatan awal mendapati kilang haram itu telah beroperasi semenjak enam tahun lepas," katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan ialah baja-baja sebatian dan kimia bersubsidi yang diperoleh secara tidak sah, diproses semula dengan campuran bahan lain bertujuan meningkatkan kuantiti serta akan dibungkuskan semula dengan bungkusan lain sebelum dijual dalam pasaran untuk kegunaan tanaman.

Balveer berkata lima individu yang ditahan terdiri daripada tiga warga tempatan berumur 34 hingga 51 tahun, seorang warga Indonesia dan warga Myanmar masing-masing berusia lingkungan 30 hingga 40-an.

Katanya, kes itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dan pemilik kilang telah disiasat di bawah Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripadanya positif dadah jenis heroin dan mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua suspek warga asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Beliau berkata pemilik kilang juga disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan warga asing tanpa izin selain turut dikompaun oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Operasi itu, katanya, dijalankan secara bersepadu oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, KPDN Pulau Pinang dan MBSP.

-- BERNAMA

 

Advertisement

 

Must Watch Video