PESAWAT AIR FORCE ONE: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau akan terlibat “secara tidak langsung” dalam rundingan antara Iran dan AS mengenai program nuklear Tehran yang dijadual bermula pada Selasa di Geneva, sambil menambah beliau percaya Tehran mahu mencapai perjanjian.
“Saya akan terlibat dalam rundingan itu, secara tidak langsung. Dan ia akan menjadi sangat penting,” kata Trump kepada wartawan dalam sidang media dalam pesawat Presiden, Air Force One pada Isnin.
Advertisement
Ketegangan semakin memuncak menjelang rundingan tersebut, dengan AS menghantar sebuah lagi kapal pengangkut pesawat ke Asia Barat.
Tentera AS dilaporkan sedang membuat persiapan bagi kemungkinan melancarkan kempen ketenteraan berpanjangan sekiranya rundingan itu gagal, menurut pegawai AS.
Apabila ditanya mengenai prospek untuk mencapai perjanjian, Trump berkata, Iran mahukan rundingan yang sukar, tetapi telah mengetahui akibat daripada pendirian keras sedemikian pada musim panas lalu apabila AS mengebom tapak nuklear Iran.
Trump menyatakan bahawa pihak Iran pada kali ini lebih bermotivasi untuk berunding.
“Saya tidak fikir mereka mahu menanggung akibat jika tidak mencapai perjanjian,” ulangnya.
Sebelum AS bergabung dengan Israel menyerang tapak nuklear Iran pada bulan Jun, rundingan nuklear Iran–AS ketika itu tergendala disebabkan tuntutan Washington agar Tehran menghentikan segala aktiviti pengayaan uranium di tanahnya - sesuatu yang dianggap AS sebagai jalan menuju kepada pembangunan senjata nuklear Iran.
Pada Isnin, organisasi pertahanan awam Iran menjalankan latihan pertahanan kimia di Zon Ekonomi Khas Tenaga Pars bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan insiden kimia di hab tenaga yang terletak di selatan Iran. - Agensi