SEPANG: Tourism Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Cina 2026 dalam satu majlis penuh warna-warni di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Selasa.
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, suasana di balai ketibaan meriah dengan paluan gendang dan persembahan bertenaga tarian singa yang menyambut langkah para pengunjung sebaik sahaja mereka tiba.
Advertisement
Majlis yang bermula seawal jam 7 pagi itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing diiringi Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy.
Bercakap kepada pemberita, King Sing menyuarakan keterjuaan dapat menyambut ketibaan pengunjung ke Malaysia.
"Hari ini kita bersama-sama berada di sini untuk menyambut kedatangan antarabangsa dan rakyat dari Malaysia, selamat kembali ke tanah air.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai," katanya ringkas selepas program sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Balai Ketibaan KLIA 1.
Sebagai simbolik menyambut ketibaan pengunjung, King Sing turut meluangkan masa menyampaikan beg cenderahati kepada para pelawat sebagai tanda penghargaan kerana memilih Malaysia sebagai destinasi percutian.
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah wakil-wakil agensi di bawah MOTAC, Tourism Malaysia serta pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).