DUNIA
Israel terus serang Gaza ketika sokongan global terhadap Negara Palestin meningkat

Keadaan kemanusiaan di Gaza digambarkan sebagai terlalu teruk dan tidak dapat diterima, dengan jutaan penduduk Palestin terpaksa melarikan diri ke selatan tanpa jaminan keselamatan atau bantuan asas. -Gambar fail/AP
GAZA: Serangan udara dan darat oleh Israel di Gaza terus meningkat, mengakibatkan lebih 65,000 kematian sejak Oktober 2023, menurut laporan Al Jazeera dan sumber antarabangsa.
Ringkasan AI
- Serangan Israel di Gaza telah menyebabkan lebih 65,000 kematian sejak Oktober 2023 dan mencetuskan krisis kemanusiaan yang teruk.
- Sokongan global terhadap penubuhan negara Palestin semakin meningkat dengan UK, Kanada, Australia dan Portugal mengiktiraf secara rasmi, mendorong Singapura untuk menilai semula pendiriannya.
- PBB meluluskan resolusi pelan dua negara melalui Deklarasi New York, namun ditolak oleh Israel dan AS, sementara sidang kemuncak damai dijadualkan berlangsung di New York minggu ini.
Dalam tempoh seminggu, United Kingdom, Kanada, Australia dan Portugal telah mengiktiraf negara Palestin secara rasmi, menyertai lebih 140 negara lain yang telah berbuat demikian.
Langkah itu turut mendorong Singapura untuk menilai semula pendiriannya.
Menteri Luar Negeri, Dr Vivian Balakrishnan, dalam kenyataan di Parlimen berkata, Singapura akan mempertimbangkan pengiktirafan negara Palestin sekiranya Israel terus menolak penyelesaian dua negara dan jika Palestin membentuk kerajaan yang bersatu serta menolak keganasan.
“Operasi ketenteraan Israel yang semakin intensif telah memburukkan lagi penderitaan rakyat awam.
"Ini tidak berperikemanusiaan,” katanya sambil menegaskan bahawa penafian bantuan kemanusiaan kepada penduduk awam adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut meluluskan resolusi menyokong pelan dua negara melalui Deklarasi New York, yang menyeru gencatan senjata, pembebasan tebusan dan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Namun, Israel dan Amerika Syarikat menolak resolusi itu, menyifatkannya sebagai propaganda yang menguntungkan Hamas.
Sidang kemuncak khas yang dianjurkan oleh Perancis dan Arab Saudi dijadualkan berlangsung minggu ini di New York, dengan kehadiran puluhan pemimpin dunia bagi merangka pelan damai jangka panjang.
Presiden Perancis Emmanuel Macron dijangka mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap negara Palestin dalam sidang tersebut.
Sementara itu, Israel dilaporkan sedang mempertimbangkan tindakan balas termasuk pengilhakan sebahagian wilayah Tebing Barat, langkah yang dijangka memburukkan lagi ketegangan serantau dan menjejaskan prospek penyelesaian damai.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami