Skip to main content

Dunia

Israel tidak akan berundur dari Lubnan selagi Hezbollah belum dilucutkan senjata - Katz

61750236921_IsraelKatz.jpg
Katz (foto) berkata kenyataan tegas itu sekali gus menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang membayangkan Israel bakal menarik keluar pasukannya dari wilayah tersebut dalam masa terdekat. -Gambar fail
Advertisement

BAITULMUQADDIS: Israel menegaskan pasukan tenteranya tidak akan berundur dari Lubnan sehinggalah kumpulan pejuang Hezbollah dilucutkan senjata sepenuhnya di seluruh negara berkenaan.

Menteri Pertahanannya, Israel Katz berkata kenyataan tegas itu sekali gus menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang membayangkan Israel bakal menarik keluar pasukannya dari wilayah tersebut dalam masa terdekat, lapor Al Jazeera.

"Kami tidak meminta kebenaran daripada sesiapa untuk memasuki Lubnan dan kami juga tidak memerlukan kelulusan untuk terus kekal di sana," katanya dalam satu kenyataan rasmi bagi menyangkal jangkaan pihak Washington.

Menurut Katz, operasi ketenteraan tersebut merupakan hak serta kewajipan kerajaan Israel demi melindungi penduduk di Galilee serta seluruh warganya daripada sebarang ancaman keselamatan.

Sebelum ini, Trump menyatakan keyakinan bahawa Israel akan berundur dari Lubnan selepas mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Kenyataan Trump itu dibuat di luar sidang kemuncak NATO di Ankara semasa pertemuan dengan Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, meskipun barisan pemimpin kanan Israel berkeras mahu mengekalkan kehadiran tentera di wilayah tersebut.

Katz sekali lagi memperkukuh pendirian bersama Netanyahu bahawa tentera Israel akan terus berada di zon keselamatan di selatan Lubnan, manakala pasukan keselamatan dilapor akan terus bertindak dari kawasan berkenaan bagi memantau situasi semasa.

 

Must Watch Video

Advertisement