Skip to main content

Dunia

Israel tidak boleh gagalkan perjanjian AS-Iran - Erdogan

41732716056_TayyipErdogan.jpg
Erdogan turut menuduh Israel cuba menggugat persefahaman yang dicapai antara Washington dan Tehran. - Foto fail/AP
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menegaskan Israel tidak boleh dibenarkan menggagalkan perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, sambil menekankan bahawa sebarang usaha perdamaian di Asia Barat memerlukan sokongan penuh negara-negara serantau untuk mencapai penyelesaian yang berkekalan.

Berucap bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, di Istanbul pada Sabtu, Erdogan berkata tiada penyelesaian yang mampu bertahan tanpa sokongan dan sumbangan negara-negara di rantau berkenaan.

“Tiada penyelesaian yang tidak bersandarkan kepada kehendak dan sumbangan negara-negara serantau boleh berkekalan,” katanya.

Erdogan turut menuduh Israel cuba menggugat persefahaman yang dicapai antara Washington dan Tehran.

"Kami memantau rapat cubaan pentadbiran Israel untuk menggagalkan perjanjian (AS-Iran) itu. Kerajaan Israel yang terus mengutamakan pendekatan ketenteraan tidak boleh dibenarkan sekali lagi menjerumuskan rantau ini ke dalam peperangan dan pertumpahan darah," katanya.

Turkiye sebelum ini beberapa kali menuduh Israel cuba melemahkan memorandum persefahaman (MoU) antara AS dan Iran yang diusahakan dengan peranan pengantaraan Pakistan, selain mengkritik serangan Israel di Gaza, Lubnan dan Syria.

Minggu lalu, delegasi AS dan Iran mengadakan rundingan tidak langsung di Qatar bagi meneruskan proses rundingan selepas kedua-dua negara terlibat dalam siri serangan balas-membalas.

Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, berkata Tehran akan mewujudkan saluran komunikasi dengan Washington bagi melaporkan sebarang pelanggaran terhadap memorandum persefahaman berkenaan.

Memorandum yang dimudahcara oleh Qatar dan Pakistan itu merangkumi gencatan senjata selama 60 hari, pembukaan semula Selat Hormuz, persetujuan berhubung program nuklear Iran serta jadual ke arah perjanjian muktamad bagi menamatkan konflik secara kekal.

Bagaimanapun, ketegangan masih berterusan apabila AS dan Iran melancarkan serangan balas antara satu sama lain minggu lalu susulan perbezaan tafsiran mengenai pelaksanaan perjanjian tersebut.

Dalam perkembangan lain, Erdogan berkata Turkiye dan Pakistan berhasrat memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga, pengangkutan, mineral kritikal, teknologi maklumat dan pertahanan, selain menyasarkan nilai perdagangan dua hala sebanyak AS$5 bilion. 
 

 

Must Watch Video

Advertisement