Kulsoom Nawaz, isteri bekas perdana menteri Pakistan, Nawaz Sharif, meninggal dunia di London, England pada Selasa akibat kanser darah (limfoma).

Beliau berusia 68 tahun.

Ini berlaku sewaktu suaminya masih dipenjarakan di Pakistan selepas kehilangan kuasa.

Kulsoom, yang menjadi Wanita Pertama Pakistan tiga kali, disahkan menghidap limfoma pada Ogos 2017 dan mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di London selama beberapa bulan.

"Ya, kematian Begum Kulsoom Nawaz telah disahkan," jurucakap parti Pakistan Muslim League-Nawaz (PML-N) memberitahu AFP.

Media tempatan melaporkan Kulsoom telah dipasangkan mesin bantuan hayat dan ventilator siang tadi.

Sebelum ini, Nawaz telah digulingkan dari jawatan Perdana Menteri sebulan sebelum isterinya disahkan penyakitnya.

Beliau bersama anak mereka, Maryam Nawaz, telah meninggalkan Kulsoom di London dan kembali ke Pakistan pada 13 Julai lalu untuk meraih sokongan bagi PML-N beberapa hari sebelum pilihan raya.

Namun, kedua-dua bapa dan anak terus dipenjarakan di atas dakwaan rasuah, dan PML-N kalah dalam pilihan raya 25 Julai itu kepada parti Pakistan Tehreek-e-Insaf dan pengerusinya, Imran Khan.