KUALA LUMPUR: Situasi jerebu di seluruh negara dilapor stabil tanpa perubahan ketara dengan 25 kawasan kekal mencatatkan kualiti udara pada tahap tidak sihat setakat jam 5 petang ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Batu Muda di Kuala Lumpur terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi negara pada paras 173, manakala Johan Setia di Selangor kekal kedua tertinggi dengan bacaan 171.
Petaling Jaya dan Shah Alam masing-masing mencatatkan bacaan 169, diikuti Cheras (168), Bukit Rambai (166), Nilai (165), Klang (164), Putrajaya (163) dan Banting (162).
Di Negeri Sembilan, Seremban mencatatkan bacaan 160 manakala Port Dickson kekal pada paras 154. Di Melaka, Alor Gajah dan Bandaraya Melaka masing-masing meningkat satu mata kepada 157, sementara Bukit Rambai kekal pada bacaan 166.
Di Johor, Larkin mencatatkan bacaan 159, manakala Pasir Gudang dan Kota Tinggi masing-masing merekodkan bacaan 156. Kluang, Pengerang dan Paka di Terengganu pula mencatatkan bacaan 155.
Perubahan paling ketara direkodkan di Pegoh Ipoh, Perak yang turun 16 mata kepada 135 berbanding 151 pada jam 4 petang. Tasek Ipoh pula kekal pada bacaan 154, manakala Tanjung Malim bertambah baik kepada 112.
Semua stesen pemantauan di Pahang kekal dalam kategori sederhana dengan Rompin dan Temerloh mencatatkan bacaan tertinggi di negeri itu iaitu 97.
Di Sabah dan Sarawak, semua stesen pemantauan terus berada dalam kategori sederhana atau baik. Samarahan mencatatkan bacaan tertinggi di kedua-dua negeri pada paras 83.
Sementara itu, lapan kawasan berada dalam kategori baik (IPU 0 hingga 50). Kimanis di Sabah merekodkan bacaan terbaik pada paras 28, diikuti Langkawi (33), ILP Miri dan Kota Kinabalu (39), Limbang dan Miri (41), Politeknik Kota Kinabalu (43) serta Balik Pulau (49).