KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil langkah bagi mengurangkan kekangan birokrasi yang dihadapi ibu bapa dari Maldives untuk menemani anak mereka yang melanjutkan pengajian di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu telah dibincangkan bersama anggota pentadbiran kerajaan dan dijangka dibawa untuk tindakan susulan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.
Menurutnya, lebih 2,000 pelajar Maldives kini menuntut di Malaysia, sekali gus mencerminkan keyakinan negara itu terhadap sistem pendidikan Malaysia.
“Kita mempunyai lebih 2,000 pelajar Maldives di Malaysia dan ini menunjukkan bukan sahaja kepercayaan sebagai sahabat, tetapi juga keyakinan terhadap sistem pendidikan kita.
“Justeru, kita perlu memudahkan beberapa kekangan birokrasi dalam proses membolehkan ibu bapa menemani anak mereka.
“Saya sudah membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan dan kita akan cuba menyelesaikannya menjelang mesyuarat Jemaah Menteri akan datang,” katanya dalam sidang media bersama Presiden Maldives, Mohamed Muizzu, di sini, pada Selasa.
Anwar berkata perkara itu bukan melibatkan perbezaan dasar kerana Malaysia tidak mempunyai masalah menerima rakyat Maldives untuk tinggal, bekerja atau melanjutkan pengajian di negara ini.
Dalam perkembangan sama, beliau mahu beberapa isu membabitkan akses penjagaan kesihatan rakyat Maldives di Malaysia turut diselesaikan segera.
Menurutnya, prinsip ihsan dan kepedulian yang menjadi sebahagian daripada Kerangka Ekonomi MADANI perlu diterjemahkan dalam menangani perkara berkenaan termasuk aspek kesihatan mental dan keperluan golongan kurang upaya.
“Apa ertinya pembangunan dan kemajuan jika kita tidak menunjukkan keprihatinan dan ihsan?
“Ini bukan melibatkan ratusan kes, hanya beberapa kes yang perlu kita beri perhatian dan bantuan," tambah beliau.