LOS ANGELES: Penyanyi rap Amerika Syarikat, Macklemore, dilapor digugurkan daripada siri jelajah konsert Ed Sheeran di negara itu selepas menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin ketika mengadakan persembahan baru-baru ini.
Keputusan itu dibuat susulan kenyataannya di Stadium MetLife di New Jersey yang menyatakan bahawa penduduk di Gaza dan Tebing Barat tidak pernah dilupakan, yang mengundang kritikan daripada beberapa pihak.
Susulan tindakan artis berkenaan, beberapa pengurusan stadium dilaporkan memaklumkan kepada penganjur jelajah bahawa kehadiran Macklemore tidak lagi dialu-alukan di premis mereka.
Syarikat pengurusan Messina Touring Group dalam satu kenyataan berkata keengganan pihak lokasi penganjuran membenarkan penglibatan penyanyi rap itu berpotensi menyebabkan pembatalan konsert dan menjejaskan ratusan ribu peminat.
Sementara itu, Macklemore menerusi hantaran di Instagram berkata beliau berharap keputusan itu tidak menjejaskan hubungan persahabatannya selama 13 tahun dengan Ed Sheeran.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa jika sokongannya terhadap Palestin menyebabkan dia kehilangan peluang mengadakan persembahan, perkara itu tetap dianggap sebagai antara tindakan paling bermakna dalam kerjayanya.
Macklemore, yang popular menerusi lagu seperti Thrift Shop, dikenali sebagai artis yang lantang menyuarakan sokongan kepada rakyat Palestin, termasuk menerbitkan lagu Hind's Hall pada 2024 bagi memperingati Hind Rajab.
Konflik di Asia Barat yang berlarutan sejak Oktober 2023 menyaksikan kekejaman tentera Israel yang dilapor mengorbankan lebih 41,000 nyawa rakyat Palestin setakat ini berdasarkan data pihak berkuasa kesihatan.