ISTANBUL: Serangan udara Israel merosakkan sebuah bas milik Doctors Without Borders (MSF) di Bandaraya Gaza dan mencederakan seorang kakitangannya, lapor Anadolu Ajansi memetik badan amal perubatan itu pada Isnin.
Doctors Without Borders memaklumkan bas itu membawa 10 petugas kemanusiaan apabila serangan Israel mengenai sebuah kenderaan yang menjadi sasaran hanya dua meter dari bas berkenaan pada 13 Sept.
Kumpulan itu memaklumkan bas berkenaan dapat dikenal pasti dengan jelas menerusi logo besar MSF yang kelihatan pada bumbungnya.
“Sekali lagi, tentera Israel menunjukkan sikap tidak mengendahkan keselamatan petugas kemanusiaan dan perubatan secara terang-terangan,” menurut MSF.
Pertubuhan itu memaklumkan tiada tempat yang selamat di Gaza dan menggesa supaya orang awam, petugas penjagaan kesihatan serta kakitangan kemanusiaan dilindungi.
Ia turut menggesa supaya kenderaan perubatan dan kemanusiaan yang ditandakan dengan jelas tidak menjadi sasaran serangan.
Pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel telah menyebabkan 1,372 rakyat Palestin terkorban dan 4,659 yang lain cedera setakat Isnin, menurut angka terkini Kementerian Kesihatan Gaza.
Sejak 8 Okt 2023, Israel telah menyebabkan lebih 73,000 rakyat Palestin terkorban dan mencederakan lebih 174,000 yang lain dalam serangan genosidnya di Gaza, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur wilayah itu.
-- BERNAMA