RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman mengulangi sokongan negara itu untuk mencapai penyelesaian kekal kepada perjuangan rakyat Palestin.

Tekad itu disuarakan Baginda sewaktu berucap pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak GCC-ASEAN Riyadh hari ini. 

Putera Mahkota itu juga berkata baginda 'kecewa' dengan keganasan yang semakin meningkat di Gaza, di mana ramai mangsa yang tidak bersalah terkorban dan baginda tegas menolak sasaran yang ditujukan kepada orang awam.

Presiden Indonesia Joko Widodo dalam kenyataan pembukaannya turut menggesa agar keganasan di Gaza dihentikan mengikut undang-undang antarabangsa.

Putera Mahkota Mohammed juga berkata bahawa Arab Saudi berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara ASEAN dalam semua bidang.

Walaupun kedua-dua pertubuhan itu telah menjalin hubungan pada 1990, perhimpunan ini akan menjadi sidang kemuncak sulung kedua-dua blok berkenaan dengan tujuan mengoptimumkan kerjasama antara blok serantau.

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Horn mengetuai delegasi blok itu ke sidang kemuncak ini.

Sidang ini bakal dimuktamadkan dengan mengeluarkan kenyataan bersama mengenai hasil dan rancangan kerjasamanya untuk 2024 hingga 2028.

GCC terdiri daripada Arab Saudi, Oman, Qatar, Bahrain, Kuwait dan UAE, manakala blok ASEAN terdiri daripada Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Myanmar dan Filipina.

Nilai perdagangan antara negara-negara ASEAN kini berjumlah lebih daripada AS$110 bilion.