Skip to main content

Dunia

Itali tolak bayar kos rawatan mangsa kebakaran di Switzerland - PM

Italy's Prime Minister Giorgia Meloni listens to debate, after she reported on her government’s actions and is expected to speak on the latest developments in Iran, at the lower house of Parliament in Rome, Italy, April 9, 2026. REUTERS/Remo Casilli
Meloni menegaskan bahawa Itali akan menolaknya dan tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut. - Gambar fail/Reuters

MOSCOW: Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni berkata Rom tidak akan membayar kepada Switzerland bagi kos rawatan mangsa yang cedera dalam kebakaran di sebuah bar di pusat peranginan ski Crans-Montana, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Jumaat, media Itali melaporkan Switzerland menuntut €108,000 (AS$126,600) daripada Itali bagi menampung kos rawatan tiga warga muda Itali yang dimasukkan ke hospital susulan insiden kebakaran itu.

Advertisement

Ahli keluarga mangsa berkata mereka menerima bil hospital, namun dokumen berkenaan menunjukkan tiada bayaran diperlukan, termasuk €75,000 (AS$88,000) bagi tempoh rawatan selama 15 jam seorang pesakit di unit rawatan rapi.

Meloni berkata beliau dimaklumkan menerusi laporan media bahawa pihak berkuasa Switzerland berhasrat menuntut bayaran balik bagi apa yang disifatkan sebagai kos rawatan berlebihan yang ditanggung sebuah hospital di Sion bagi merawat beberapa mangsa, termasuk bagi tempoh rawatan hospital yang hanya mengambil masa beberapa jam.

“Jika tuntutan yang memalukan ini diformalkan, saya menegaskan bahawa Itali akan menolaknya dan tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut. Saya percaya kepada rasa tanggungjawab pihak berkuasa Switzerland dan berharap maklumat ini ternyata sama sekali tidak berasas,” kata Meloni di platform media sosial X.

Duta Itali ke Switzerland Gian Lorenzo Corrado memberitahu La Repubblica bahawa tuntutan itu bersifat menghina dan mencerminkan “salah faham yang mendalam” antara kedua-dua pihak.

Pada malam Tahun Baharu, satu kebakaran berlaku di ruang bawah tanah bar Constellation di pusat peranginan Alpine Switzerland yang popular, Crans-Montana, ketika satu acara kelab malam sedang berlangsung.

Menurut polis di kanton Valais, seramai 41 orang terbunuh, kebanyakannya golongan muda berusia antara 14 hingga 24 tahun, manakala 14 warga Itali turut cedera.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

Must Watch Video