Sejak kenderaan berenjin mula dicipta, manusia tidak pernah berhenti cuba untuk pergi lebih laju. Tetapi ada beberapa kumpulan dan individu yang memberi fokus untuk mencapai kelajuan yang tidak masuk akal langsung.

Pada ketika ini, yang paling menonjol adalah projek Bloodhound yang berpengkalan di Britain. Dari segi kejuruteraan ia satu kerja yang amat rumit; kajian aerodinamik sendiri mengambil masa sehingga tiga tahun. Dan penyelidikan masih belum sempurna walaupun projek ini bermula pada tahun 2008.

Objektif: Untuk mencapai kelajuan melampaui 1,000bsj (1,609km/j) menggunakan ‘kereta’ berbentuk tiub/pensil dan dipacu enjin jet serta roket.

Jadi model apa yang sesuai dijadikan kereta bantuan ataupun ‘support car’ untuk usaha ini? Sebagai rakan teknikal Bloodhound SSC, Jaguar telah menghasilkan model khas F-Type R AWD Bloodhound SSC RRV yang direka khusus untuk membantu mencapai rekod yang dirancang.

Ia dilengkapi dengan peralatan radio yang serupa dengan Bloodhound. Sistem perhubungan ini jelas mempunyai cabaran yang besar kerana kelajuan yang terlibat, oleh itu ia telah diuji dengan agak unik. Jaguar F-Type ini telah dipandu pada kelajuan maksimum ke arah sebuah pesawat jet yang juga terbang pada kelajuan 500 knot (926km/j) pada ketinggian 20 kaki dari atas tanah. Gabungan kelajuan hampir 1,127km/j itu membenarkan sistem perhubungan diuji pada keadaan realistik sewaktu cubaan rekod dijalankan.

Varian bagi F-Type R AWD Bloodhound SSC RRV adalah dengan enjin V8 bersesaran 5,000cc. Output adalah 488hp dengan tork 625Nm. 0-100km/j mengambil masa 4.3 saat manakala kelajuan maksimum adalah 300km/j (terhad secara elektronik).

Enjin F-Type ini juga akan bertanggunjawab untuk membekal kuasa hidraulik kepada jentera Bloodhound SSC serta menjana kuasa bagi pam pengoksida untuk roket yang dipasang.