Para jurutera di Jaguar Land Rover sedang menjalankan kajian untuk membangunkan sistem pengesan lubang kerosakan di atas jalan raya (pothole) dan sistem jaringan perhubungan antara kereta dengan kereta supaya apabila sesebuah kereta mengesan pothole di atas jalan raya atau kerosakan penutup manhole, kereta ini akan menghantar maklumat pada masa sebenar kepada kereta-kereta lain yang berada di dalam jaringan yang sama, atau kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.

Jika sesebuah kereta boleh menerima amaran-amaran seperti ini dari kereta lain, pemandu berpeluang memperlahankan kenderaan dan bersedia untuk mengelakkan bahaya ini. Bahkan dengan adanya teknologi berkaitan, kereta itu sendiri boleh mengubah tetapan sistem ampaiannya bagi mengurangkan kesan yang dirasai ketika impak sekaligus mengurangkan risiko tayar pancit, kerosakan pada roda dan badan kenderaan dan juga dapat mengelakkan kemalangan daripada berlaku.

Seterusnya, Jaguar Land Rover bercadang untuk memasang suatu sistem pengesan permukaan jalan pada sebuah model kajian Range Rover Evoque termasuklah sebuah kamera digital stereo yang menghadap ke depan.

Kumpulan pengkaji dari Jaguar Land Rover juga akan berkerjasama dengan Pusat Pembangunan Inovasi Tempatan Coventry bagi memahami cara bagaimana untuk menghubungkan segala maklumat ini kepada pihak berkuasa dan apakah data yang sepatutnya dihantar kepada pasukan penyelenggaraan supaya kerja-kerja penyelenggaraan dapat dijalankan dengan segera.

Projek ini juga akan mengkaji samada kamera yang digunakan oleh Jaguar Land Rover di dalam kajian ini mampu untuk mengambil gambar lubang di atas jalan raya atau gambar penutup manhole yang rosak dan seterusnya berkongsi maklumat-maklumat ini dengan pihak berkuasa berserta dengan koordinat GPS lokasinya.