SEORANG ahli silap mata yang memang popular dengan aksi berbahaya, Limbad mengalami detik cemas selepas janggutnya terbakar sewaktu dia sedang melakukan persembahan di Madiun, Jawa Timur, Indonesia.

Janggut, yang memang menjadi salah satu identiti Limbad yang juga seorang pelakon itu, terbakar sewaktu ahli silap mata tersebut membuat aksi sembur api.

Video api menyambar janggut Limbad telah menjadi viral di media sosial, lapor Detik.com.

Ia memperlihatkan Limbad membuat aksi berbahaya tersebut tanpa memakai baju dan hanya mengenakan seluar panjang hitam melakukan aksi sembur api di depan penonton.

Sewaktu pembantu sedang menghulur obor, api tiba-tiba menyambar wajah dan janggutnya. Limbad malah dilihat berusaha memadamkan api yang marak.

Ekoran insiden tersebut, pemenang Master Magician dalam acara The Master yang ditayangkan di stesen RCTI tidak lama dulu dikejarkan ke dua buah hospital.

Ahli silap mata berusia 51 tahun tersebut kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan kecil selepas sebahagian janggutnya terbakar dan mengalami kecederaan pada bahagian dagu. - Gempak