MISTERI kehilangan seorang lelaki dari sebuah kawasan perkampungan kecil di Kepulauan Sulawesi, Indonesia sejak beberapa hari lalu akhirnya terjawab.

Jasad Akbar Salubiro ditemui dalam perut seekor ular sawa sepanjang tujuh meter, lapor Tribun Timur, sambil menyatakan ular sawa itu ditemui melingkar di tepi kawasan taman rumah lelaki berusia 25 tahun itu.

Akbar pada mulanya keluar rumah pada pagi Ahad untuk mengait buah kelapa sawit di ladang berdekatan.

Namun, apabila kelibatnya tidak kelihatan pulang sehingga lewat petang, penduduk kampung kemudiannya melancarkan usaha untuk mencari bapa dua anak itu.

Menurut laporan beberapa portal berita negara itu, kasut but yang dipakai Akbar nampak jelas kelihatan dari luar perut ular sawa itu, dan mangsa disyaki ditelan selepas pengsan akibat dibelit.

Penduduk kampung terpaksa menggunakan pisau berburu sepanjang 18 inci untuk membelah perut reptilia berkenaan.

Video yang menunjukkan usaha penduduk kampung untuk mengeluarkan Akbar dari perut ular itu kini tersebar di YouTube.