Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo mengumumkan persiapan untuk melanjutkan tempoh darurat di negara matahari terbit itu untuk tempoh sebulan lagi.

Abe dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, keputusan akhir bagaimanapun akan dibuat pada 4 Mei nanti.

"Saya akan membuat keputusan pada 4 Mei nanti selepas mempertimbangkan situasi di setiap wilayah, dan juga semua pendapat pakar berdasarkan analisis mendalam terhadap data terbaru," ujarnya dalam satu sidang media di Tokyo.

Jepun mengisytiharkan darurat selama sebulan pada 7 April lalu di Tokyo dan enam kawasan lain, dan meminta penduduk agar kekal di rumah.

Langkah itu kemudiannya diperluaskan ke seluruh negara.

Permintaan untuk penutupan perniagaan yang tidak penting juga dikeluarkan di Tokyo dan beberapa wilayah lain.

Kementerian Kesihatan Jepun memaklumkan, negara itu mempunyai 14,281 kes COVID-19 dengan 432 kematian.