ANKARA: Jepun akan menghantar pasukan perubatan dan bekalan bantuan kepada penduduk di selatan Turkiye, lapor Agensi Anadolu memetik dua kenyataan rasmi di media tempatan pada Sabtu.

"Berdasarkan kemusnahan akibat gempa bumi di Turkiye, Jepun memutuskan untuk menghantar Pasukan Perubatan dan bantuan barangan yang diperlukan menggunakan pesawat JSDF. DM Hamada telah mengarahkan persediaan Operasi Bantuan Bencana Antarabangsa dan menghantar pasukan pengumpulan maklumat," menurut twitter Kementerian PertahananJepun.

Jepun akan membawa barangan bantuan kecemasan seperti khemah, selimut dan alas tidur melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar padaJumaat.

Menteri Luar Yoshimasa Hayashi juga mengunjungi Kedutaan Turkiye di Tokyo dan menandatangani Buku Takziah untuk mangsa gempa bumi itu.

"Dalam pertemuan dengan Duta Gungen, Menteri Hayashi berkata kerajaan Jepun bersedia untuk memberi sebanyak mungkin bantuan yang diperlukan oleh Turkiye dan menyatakan solidariti Jepun kepada Turkiye," katanya.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6, berpusat di wilayah Kahramanmaras telah menjejaskan lebih 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Sekurang-kurangnya 20,665 orang dilaporkan terkorban manakala lebih 80,088 lagi cedera.

Menurut Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye, lebih 120,344 anggota mencari dan menyelamat kini berada di zon bencana dan lebih 80,863 orang dipindahkan.

-- BERNAMA