PARIS: Dunia dijangka memerlukan tambahan 50 juta guru menjelang 2030, menurut mesej bersama yang dikeluarkan pada Isnin oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bersatu (UNESCO) sempena Hari Guru Sedunia, lapor Xinhua.
Menurut mesej UNESCO, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Education International, dunia memerlukan tambahan 44 juta guru bagi mencapai pendidikan rendah dan menengah sejagat serta enam juta lagi bagi pendidikan prasekolah.
Mesej itu menekankan kepentingan melindungi dan meningkatkan status profesion perguruan.
Ia turut menegaskan bahawa pengambilan guru baharu sama pentingnya dengan mengekalkan guru berpengalaman.
Ia juga menekankan keperluan memastikan bidang perguruan menawarkan laluan kerjaya yang memberikan motivasi, ganjaran dan kemampanan, termasuk peluang kepada guru wanita untuk memegang jawatan kepimpinan.
Hari Guru Sedunia disambut setiap tahun pada 5 Okt bagi meraikan guru di seluruh dunia.
Sambutan itu memperingati ulang tahun ke-60 penerimaan Syor Berkenaan Status Guru.
Syor itu menetapkan penanda aras berkaitan hak dan tanggungjawab guru, selain piawaian bagi latihan awal dan pendidikan lanjutan, pengambilan, pekerjaan serta keadaan pengajaran dan pembelajaran mereka.
-- BERNAMA-XINHUA