Skip to main content

Dunia

Jepun naikkan kadar faedah ke 1.0%, tertinggi sejak 1995

81621851592_jepunaplikasigod.jpg
Kenaikan itu merupakan pelarasan dasar monetari pertama oleh bank pusat berkenaan sejak Disember tahun lalu. -Gambar hiasan

TOKYO: Bank of Japan (BOJ) menaikkan kadar faedah jangka pendek kepada 1.0 peratus daripada 0.75 peratus, sekali gus meletakkan kos pinjaman pada paras tertinggi sejak September 1995.

Kenaikan itu merupakan pelarasan dasar monetari pertama oleh bank pusat berkenaan sejak Disember tahun lalu.

Langkah pengetatan dasar diambil bagi mengekang tekanan inflasi susulan kenaikan harga minyak mentah global, yang mendorong inflasi borong ke paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun pada Mei lalu.

“Terdapat risiko inflasi asas meningkat melebihi sasaran berikutan jangkaan inflasi jangka sederhana dan panjang menunjukkan trend menaik,” menurut BOJ dalam kenyataan.

Keputusan itu dicapai melalui undian 7-1 oleh ahli lembaga pengarah, dengan Toichiro Asada menjadi satu-satunya yang menentang kerana bimbang terhadap risiko penurunan pengeluaran dan guna tenaga.

Mesyuarat dasar selama dua hari itu dipengerusikan Timbalan Gabenor Shinichi Uchida, ketika Gabenor Kazuo Ueda sedang menerima rawatan di hospital.

Uchida berkata perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran merupakan perkembangan positif, namun risiko inflasi domestik masih berterusan.

Susulan pengumuman itu, indeks Nikkei 225 dilaporkan melonjak ke rekod baharu, menghampiri paras 70,000 mata dalam dagangan hari ini.

Selain itu, BOJ turut memutuskan untuk menghentikan pengurangan pembelian bon kerajaan menjelang April tahun depan bagi mengekalkan kestabilan pasaran.

Must Watch Video

Advertisement