Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Sulaiman turun padang, perkukuh peluang BN pertahan Lendu

Mohamad menyantuni penduduk setempat di Warung Yusof, Durian Daun, hari ini. - Foto Astro AWANI
Mohamad menyantuni penduduk setempat di Warung Yusof, Durian Daun, hari ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

MASJID TANAH: Kehadiran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat mampu memperkukuh peluang Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi berkenaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penglibatan Sulaiman yang turun padang bersama calon BN, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid menunjukkan sokongan bekas penyandang itu terhadap calon yang diketengahkan parti.

Menurutnya, keadaan itu sekali gus menepis tanggapan bahawa keputusan Sulaiman tidak mempertahankan kerusi DUN Lendu boleh menjejaskan momentum kempen BN di kawasan itu.

Advertisement

“Saya tak nampak isu itu sebagai satu perkara yang merunsingkan sangat kerana Sulaiman sendiri sudah keluar bersama-sama, bergerak dengan calon.

“Kehadiran Sulaiman itu sendiri membawa kekuatan kepada calon kita dan parti kita,” katanya ketika ditemui selepas bersarapan bersama penduduk setempat di Warung Yusof, Durian Daun, di sini, hari ini.

Advertisement

Mengulas gerak kerja kempen Abdul Hakim, Mohamad berkata maklum balas diterima menunjukkan calon berkenaan aktif mendekati pengundi menerusi pendekatan turun padang.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan calon dan jentera kempen bertemu seramai mungkin pengundi bagi menyampaikan mesej parti secara langsung.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendekatan kempen tradisional termasuk menyerahkan sendiri slip maklumat tempat mengundi kepada pengundi masih relevan, khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, kaedah bersemuka itu bukan sahaja membolehkan petugas mendekati pengundi, malah membuka ruang untuk memahami kecenderungan serta perubahan sokongan mereka sepanjang tempoh kempen.

“Biasanya orang kampung apabila mendapat kertas itu, mereka rasa besar hati. Macam menerima kad jemputan kahwin,” katanya.

Pada PRN Melaka kali ini, Abdul Hakim berdepan saingan satu lawan satu dengan calon BERSATU, Nazri Ramli bagi merebut kerusi DUN Lendu yang sebelum ini dimenangi Sulaiman mewakili BN.

Must Watch Video

Advertisement