BUTTERWORTH: Penilaian kerosakan dan langkah kawalan sedang dilaksanakan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) susulan kejadian kebocoran siling akibat limpahan hujan luar biasa pada Sabtu lepas.
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan kerja-kerja berkenaan dilaksanakan Unit Kejuruteraan HSJ dan kontraktor konsesi pengurusan bangunan hospital bagi menangani kejadian berkenaan.
Menurut JKNPP, kejadian yang berlaku antara 5.45 hingga 7 malam itu melibatkan beberapa lokasi di bangunan lama blok A dan bangunan baharu blok B, dengan kebanyakan kawasan terjejas membabitkan blok lama HSJ.
"Kejadian berkenaan tidak menjejaskan keselamatan pesakit atau peralatan perubatan. Pihak HSJ telah mengambil tindakan sewajarnya di lokasi terlibat,” menurut kenyataan JKNPP hari ini.
JKNPP turut memaklumkan, Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) bagi Blok B HSJ tamat pada 12 April lepas dan tiada kejadian hujan luar biasa dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut kenyataan itu, HSJ sentiasa komited memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan di hospital tersebut tidak terganggu susulan kejadian berkenaan.
Dalam kejadian pada Sabtu lepas, hujan lebat luar biasa berserta angin kencang menyebabkan air memasuki beberapa tempat di bangunan HSJ akibat kebocoran siling.
Rakaman video kejadian itu turut tular di media sosial, memaparkan petugas kesihatan menggunakan payung di dalam bangunan HSJ dengan lantai premis berkenaan digenangi air.
-- BERNAMA