Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Michael Gan akui penerimaan pengundi Cina terhadap PN masih bercampur

Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Ayer Keroh, Datuk Michael Gan Pen Lam (tengah) bersama jentera Barisan Nasional (BN) dan PN pada sesi jalinan mesra bersama masyarakat di Taman Ayer Keroh Heights, Melaka.
Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Ayer Keroh, Datuk Michael Gan Pen Lam (tengah) bersama jentera Barisan Nasional (BN) dan PN pada sesi jalinan mesra bersama masyarakat di Taman Ayer Keroh Heights, Melaka.

Ringkasan AI

  • Penerimaan pengundi Cina terhadap Perikatan Nasional (PN) masih bercampur walaupun terdapat peningkatan sokongan sepanjang kempen PRN Melaka.
  • Calon PN, Datuk Michael Gan Pen Lam, menyatakan persepsi negatif terhadap Pas masih mempengaruhi sebahagian pengundi Cina.
  • Beliau menegaskan keutamaan kepada penyelesaian praktikal isu setempat berbanding membuat janji khusus dalam tempoh 100 hari pertama.
Advertisement

AYER KEROH: Penerimaan pengundi Cina terhadap Perikatan Nasional (PN) masih bercampur meskipun terdapat tanda-tanda peningkatan sokongan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Michael Gan Pen Lam berkata sebahagian pengundi Cina semakin terbuka terhadap gabungan itu, namun masih terdapat pihak yang mempunyai persepsi negatif terhadap Pas.

Menurut beliau, tanggapan bahawa Pas merupakan parti ekstrem masih mempengaruhi penerimaan sesetengah pengundi terhadap PN.

Advertisement

Michael Gan berkata masih terdapat sebahagian pengundi Cina yang terpengaruh dengan dakwaan berhubung Pas walaupun PN mengetengahkan calon daripada pelbagai latar belakang kaum.

"Sokongan dan penerimaan kaum Cina ini saya rasa ada yang okay, ada yang masih terkena hasutan daripada sesetengah pihak.

Advertisement

"Contohnya, hasutan Pas ini ekstrem. Bagi saya kalau Pas ekstrem, pilihan raya DUN ini saya bukan calon, mereka akan letak calon Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI pada sesi jalinan mesra bersama masyarakat di Taman Ayer Keroh Heights, di sini.

Michael Gan yang mewakili Gerakan berkata pencalonannya membuktikan PN mengamalkan pendekatan inklusif dalam kalangan parti komponennya.

Menurut beliau, semangat kerjasama itu turut dapat dilihat apabila parti komponen lain memberi laluan kepadanya untuk bertanding di Ayer Keroh.

Dalam pada itu, beliau berkata penerimaan pengundi pelbagai kaum terhadap kerjasama PN dan Barisan Nasional (BN) dilihat semakin baik berbanding pilihan raya lalu.

Katanya, perubahan itu dapat dilihat apabila pengundi lebih cenderung berinteraksi dan mengemukakan soalan ketika beliau turun berkempen.

"Tak macam dulu, dulu dia touch and go saja. Tapi sekarang dia berdamping, dia bertanya, dia ada minat nak kenal calon.

"Jadi bagi saya ini antara satu langkah positif dan kita harap ini akan diterjemahkan dalam undi," katanya.

Mengulas isu setempat, Michael Gan berkata masalah infrastruktur, kebersihan dan banjir merupakan antara aduan utama yang diterima sepanjang kempen.

Bagaimanapun, beliau enggan membuat janji khusus untuk menyelesaikan semua masalah dalam tempoh 100 hari pertama sekiranya diberi mandat.

Beliau berkata keyakinan rakyat terhadap janji pilihan raya semakin berkurangan.

"Saya nampak rakyat macam tak yakin dengan apa yang calon-calon lain janji," katanya.

Sebaliknya, beliau mahu menumpukan kepada tindakan dan penyelesaian praktikal terhadap masalah penduduk. Menurutnya, prestasi dan hasil kerja lebih penting daripada janji semata-mata.

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Bagaimana penerimaan pengundi Cina terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka? 
    A: Penerimaan pengundi Cina terhadap PN masih bercampur, dengan sebahagian menunjukkan peningkatan sokongan dan sebahagian lagi masih mempunyai persepsi negatif terhadap Pas.
  • Q: Apakah faktor yang mempengaruhi persepsi pengundi Cina terhadap PN? 
    A: Persepsi bahawa Pas adalah parti ekstrem masih mempengaruhi sebahagian pengundi Cina, walaupun PN mengetengahkan calon daripada pelbagai latar belakang kaum.
  • Q: Apakah pendekatan PN dalam pemilihan calon di DUN Ayer Keroh? 
    A: PN mengamalkan pendekatan inklusif dengan mencalonkan Datuk Michael Gan Pen Lam dari Gerakan, membuktikan kerjasama antara parti komponen dan keterbukaan kepada pelbagai kaum.
  • Q: Bagaimana perubahan interaksi pengundi dengan calon PN berbanding pilihan raya lalu? 
    A: Pengundi kini lebih cenderung berinteraksi dan mengemukakan soalan kepada calon, berbanding sebelum ini yang hanya bersifat "touch and go".
  • Q: Apakah isu utama yang dibangkitkan pengundi sepanjang kempen di Ayer Keroh? 
    A: Masalah infrastruktur, kebersihan dan banjir merupakan antara aduan utama yang diterima oleh calon sepanjang tempoh kempen.

Must Watch Video

Advertisement