KERAJAAN Jepun pada Isnin menggesa Myanmar membebaskan seorang wartawan negara matahari terbit itu yang ditahan junta tentera di bandar Yangon.

Ketua Setiausaha Kabinet Katsunobu Kato berkata, kerajaan Jepun meminta pihak berkuasa Myanmar memberi penjelasan berkenaan penangkapan Yuki Kitazumi.

Negara itu juga meminta pembebasan segera Kitazumi, 45 tahun, yang merupakan seorang wartawan bebas yang berpengkalan di Yangon.

"Kami akan terus mendesak pihak Myanmar membebaskan beliau segera, sambil melakukan yang terbaik untuk memberi perlindungan kepada warga Jepun di negara itu," katanya kepada media. 

Kitazumi yang sebelum ini bertugas sebagai wartawan Nikkei Business, pernah ditahan junta tentera Myanmar pada 26 Feb lalu kerana membuat liputan protes pro-demokrasi di negara itu.


Pada Ahad (18 April) malam, dia ditahan di rumahnya dan dibawa pergi dengan kenderaan polis.

Dia kemudiannya dihantar ke penjara Insein, yang menempatkan ramai tahanan politik, menurut Kedutaan Jepun di Myanmar.

Perdana Menteri Yoshihide Suga berkata, kedutaan itu sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung penahanan Kitazumi.

Kerajaan Jepun mengkritik tindakan pihak junta tentera Myanmar berhubung rampasan kuasa yang tercetus awal Februari lalu.

Menurut Persatuan Bantuan Bagi Tahanan Politik, pihak berkuasa Myanmar telah membunuh sekurang-kurangnya 728 penunjuk perasaan dan orang awam sejak rampasan kuasa.

Sementara itu, 3,141 individu termasuk Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, masih dalam tahanan.