ANCAMAN kebakaran hutan dan tanah pertanian di Kalimantan masih belum reda apabila sebanyak 1,842 titik panas dikesan di lima wilayah di pulau berkenaan pada Jumaat, berbanding 1,487 yang direkod sehari sebelumnya.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Berton SP Panjaitan berkata, pemantauan berterusan sedang dilakukan susulan peningkatan risiko kebakaran ketika musim kering.
"Berdasarkan data Sistem Pemantauan Kebakaran Hutan dan Tanah (SiPongi) menerusi satelit NASA-NOAA 20 pada Jumaat, sejumlah 1,842 titik panas direkodkan di seluruh Kalimantan.
"Daripada jumlah itu, 1,832 titik panas dikenal pasti pada tahap sederhana, manakala 10 lagi pada tahap tinggi," katanya kepada media Indonesia di Jakarta pada Sabtu.
Menurutnya, data titik panas digunakan sebagai rujukan penting untuk memantau perkembangan potensi kebakaran selain menentukan keperluan tindakan pengurusan dan pemadaman di lapangan.
Kalimantan Tengah merekodkan jumlah tertinggi dengan 976 titik panas, termasuk lapan titik pada tahap tinggi.
Kalimantan Barat pula mencatatkan 489 titik panas dengan dua daripadanya pada tahap tinggi, diikuti Kalimantan Timur sebanyak 237 titik, Kalimantan Selatan 125 titik dan Kalimantan Utara 15 titik.
Berton berkata, BNPB bersama kerajaan wilayah, Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) dan agensi berkaitan memperhebat langkah pencegahan menerusi operasi udara serta darat secara bersepadu.
Operasi itu merangkumi pemantauan, pencegahan, kesiapsiagaan, pemadaman kebakaran dan pengurusan pascabencana bagi mengurangkan risiko kebakaran yang lebih besar.
Pada masa sama, beliau menggesa masyarakat supaya tidak membuka atau membersihkan kawasan tanah dengan kaedah pembakaran terbuka serta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
Kebakaran hutan dan tanah pertanian di Kalimantan turut memberi kesan langsung kepada Sarawak yang terjejas akibat jerebu.
Media melaporkan, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian, Sarawak mencatatkan penurunan kepada 190 setakat 9 pagi tadi, berbanding 227 petang semalam, menyaksikan kualiti udara di kawasan berkenaan beralih daripada tahap sangat tidak sihat kepada tidak sihat.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sepuluh kawasan lain turut mencatatkan tahap tidak sihat, iaitu Kuching (182), Samarahan (177), Sarikei dan Sri Aman (173), Sibu (161), Bintulu (157), Samalaju dan Mukah (156) serta Miri dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing 151.