Skip to main content

Malaysia

Selangor teruskan bantuan 50 peratus yuran pengajian anak negeri

Amirudin (foto) berkata kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM17 juta tahun ini bagi membiayai inisiatif itu dan jumlah sama disediakan untuk tahun depan. -Gambar fail
Amirudin (foto) berkata kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM17 juta tahun ini bagi membiayai inisiatif itu dan jumlah sama disediakan untuk tahun depan. -Gambar fail

Ringkasan AI

  • Kerajaan Selangor meneruskan bantuan pembiayaan 50 peratus yuran pengajian kepada 4,000 pelajar UNISEL dan UIS tahun ini dan tahun depan.
  • Peruntukan RM17 juta disediakan setiap tahun, termasuk menanggung separuh kos pinjaman PTPTN selepas pelajar tamat pengajian.
  • Perpustakaan awam negeri diperkasa sebagai pusat aktiviti masyarakat, termasuk ruang transit kanak-kanak dan kelas bahasa percuma lebih 10 bahasa.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan bantuan pembiayaan 50 peratus yuran pengajian kepada 4,000 anak negeri itu yang melanjutkan pengajian di Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS) bagi mengurangkan beban kewangan mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM17 juta tahun ini bagi membiayai inisiatif itu dan jumlah sama disediakan untuk tahun depan.

“Apabila mereka tamat pengajian, kerajaan negeri akan menanggung separuh daripada kos pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), membolehkan mereka hanya membayar baki 50 peratus pinjaman,” katanya. 

Advertisement

Amirudin berkata demikian selepas merasmikan Perpustakaan Awam Selangor Greenwood dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Amirudin mahu fungsi perpustakaan awam diperluas sebagai pusat aktiviti masyarakat dan kemudahan transit kanak-kanak, selain sebagai tempat mendapatkan bahan bacaan.

Advertisement

Beliau berkata Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyediakan ruang khusus untuk kanak-kanak mengisi masa lapang sementara menunggu diambil ibu bapa, selain menawarkan bantuan sukarelawan bagi kerja sekolah, kelas tambahan dan pembelajaran kemahiran baharu.

“Kita mahu menjadikan perpustakaan sebagai tempat santai yang selamat dan bermanfaat kepada kanak-kanak berbanding menghabiskan masa di pusat beli-belah atau lokasi yang terdedah kepada pengaruh negatif.

“Inisiatif ini dimulakan di perpustakaan berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan menerima maklum balas positif penduduk,” katanya.

Amirudin berkata kerajaan negeri turut menyediakan kelas bahasa percuma meliputi lebih 10 bahasa termasuk Arab, Mandarin dan Perancis, dengan sebanyak 4,000 orang telah memanfaatkan kemudahan itu tahun ini.

Mengenai PPAS Greenwood, beliau berkata kerajaan negeri membelanjakan RM1.7 juta bagi menaik taraf kemudahan perpustakaan itu selain Majlis Perbandaran Selayang bersetuju menambah tempat letak kereta bagi memudahkan pengunjung.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement