Ringkasan AI
- OpenAI melancarkan ChatGPT Wallet, ciri pembayaran digital baharu yang membolehkan ejen AI Dots mengurus pembelian dan pembayaran bagi pihak pengguna.
- Dibangunkan bersama American Express, Chase, Mastercard dan Visa, sistem ini menggunakan token pembayaran dan pengesahan biometrik untuk meningkatkan keselamatan transaksi.
- Perkhidmatan ini kini diperkenalkan secara berperingkat kepada pelanggan ChatGPT Pro di Amerika Syarikat sebelum diperluaskan ke pasaran lain.
SAN FRANCISCO: OpenAI memperkenalkan ChatGPT Wallet, ciri pembayaran digital baharu yang membolehkan ejen kecerdasan buatan (AI) peribadi syarikat itu, Dots, mencari produk, membuat pesanan dan memproses pembayaran bagi pihak pengguna.
Dibangunkan dengan kerjasama American Express, Chase, Mastercard dan Visa, perkhidmatan yang mula diperkenalkan secara berperingkat sejak 13 November lalu itu menggunakan teknologi token pembayaran bagi meningkatkan keselamatan transaksi.
Melalui sistem itu, nombor kad sebenar pengguna digantikan dengan butiran kad maya bertoken, sekali gus mengurangkan risiko pendedahan maklumat pembayaran.
Pengesahan biometrik menerusi Face ID atau imbasan cap jari turut diwajibkan sebelum sebarang transaksi dimuktamadkan.
Direka khusus untuk menyokong urusan e-dagang menggunakan ejen AI, ChatGPT Wallet membolehkan pengguna menyerahkan keseluruhan proses membeli-belah, bermula daripada pencarian produk dan perbandingan harga sehingga membuat pesanan serta pembayaran di laman web peniaga.
Bagi menggunakan ciri berkenaan, pelanggan hanya perlu memasukkan maklumat kad kredit yang disokong sekali sahaja, sekali gus mengelakkan keperluan mengisi semula butiran pembayaran bagi transaksi akan datang.
Bagi setiap pembelian, ejen Dots akan mencari produk atau perkhidmatan yang diminta sebelum memaparkan ringkasan pesanan yang merangkumi nama peniaga, senarai barangan, jumlah keseluruhan dan kad yang akan digunakan untuk semakan pengguna.
Selepas semakan dibuat, pengguna perlu mengesahkan transaksi menggunakan Face ID atau imbasan cap jari sebelum token pembayaran selamat dijana tanpa mendedahkan maklumat kad sebenar kepada ejen AI atau peniaga.
Menurut OpenAI, ChatGPT Wallet bukan akaun simpanan wang tunai, sebaliknya berfungsi sebagai platform yang membolehkan pembayaran diproses tanpa memberikan akses kepada nombor kad kredit asal pengguna.
Sistem itu menjana token pembayaran dinamik yang merangkumi nombor kad maya, kod keselamatan dan tarikh luput khusus bagi sesuatu transaksi.
Pengguna juga terus menikmati manfaat kad kredit sedia ada termasuk mata ganjaran serta perlindungan bagi pertikaian transaksi yang layak.
Buat masa ini, perkhidmatan berkenaan diperkenalkan secara berperingkat kepada pelanggan ChatGPT Pro berusia 18 tahun ke atas di Amerika Syarikat sebelum diperluaskan ke pasaran lain.
Pada masa hadapan, OpenAI merancang memperkenalkan ciri pra-kebenaran yang membolehkan pengguna menetapkan had perbelanjaan, kategori pembelian dan tempoh masa tertentu bagi membolehkan ejen AI membuat pembelian secara lebih autonomi dengan kawalan keselamatan tambahan.