BERLIN: Kira-kira 12,500 orang di Jerman meninggal dunia akibat faktor berkaitan cuaca panas setakat tahun ini, menurut institut kesihatan awam negara itu pada Khamis, menjadikannya jumlah kematian tahunan tertinggi sejak rekod mula dikumpulkan pada 2016, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Angka itu berdasarkan laporan terkini Institut Robert Koch (RKI) yang berpangkalan di Berlin mengenai kematian berkaitan cuaca panas, meliputi tempoh dari 6 April hingga 2 Ogos.
Ini bermakna jumlah kematian akibat cuaca panas setakat tahun ini jauh lebih tinggi berbanding purata bagi keseluruhan tahun.
Dalam tempoh 10 tahun lalu, tahun 2018 dan 2019 khususnya mencatatkan jumlah kematian berkaitan cuaca panas yang tinggi. Menurut angka terkini RKI, seramai 9,400 orang meninggal dunia akibat faktor berkaitan cuaca panas pada 2018, manakala jumlah itu ialah 7,700 pada 2019.
Jumlah keseluruhan kematian berkaitan cuaca panas tahun ini mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan. Menurut RKI, angka berkenaan hanyalah anggaran konservatif.
Jumlah kematian berkaitan cuaca panas yang tinggi tahun ini dicatatkan khususnya di dua negeri Jerman, Saarland dan Rhineland-Palatinate. Kadar kematian berkaitan cuaca panas di kedua-dua negeri masing-masing ialah 43.4 dan 38.7 kematian bagi setiap 100,000 penduduk. Di seluruh negara, kadarnya ialah 15 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.
Cuaca panas amat berbahaya kepada warga emas. Kira-kira 6,300 kematian dicatatkan dalam kalangan mereka yang berusia 85 tahun ke atas.
Lebih 3,100 daripada mereka yang meninggal dunia berusia antara 75 dan 84 tahun, manakala hampir 1,900 berusia antara 65 dan 74 tahun. Kira-kira 1,200 kematian dicatatkan dalam kalangan mereka yang berusia bawah 65 tahun.
Gelombang haba teruk pada akhir Jun turut memberi kesan ketara. RKI menganggarkan kira-kira 9,600 orang meninggal dunia akibat faktor berkaitan cuaca panas sepanjang minggu 22 hingga 28 Jun sahaja. Di banyak kawasan di Jerman, suhu mencecah sekitar 40 darjah Celsius (104 darjah Fahrenheit) pada tempoh itu.
Menurut RKI, peningkatan kematian berkaitan cuaca panas lazimnya mula ketara apabila purata suhu mingguan mencapai 20 darjah Celsius (68 darjah Fahrenheit), yang dikira berdasarkan suhu siang dan malam sepanjang seminggu. Pada minggu 27 Julai hingga 2 Ogos, purata suhu mingguan di seluruh Jerman ialah 21.6 darjah Celsius (70.9 darjah Fahrenheit).
-- BERNAMA-ANADOLU