Skip to main content

Malaysia

KPWKM sedia runding dengan pihak swasta perluas Aturan Kerja Fleksibel

Hui Ying berkata pendekatan itu akan dilaksanakan menerusi perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian. - Foto fail/BERNAMA
Hui Ying berkata pendekatan itu akan dilaksanakan menerusi perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian. - Foto fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • KPWKM akan berunding dengan pihak swasta untuk memperluas Aturan Kerja Fleksibel, khususnya bagi membantu wanita mengimbangi kerjaya dan keluarga.
  • Majikan digalakkan menyediakan TASKA di tempat kerja dengan insentif potongan cukai bagi meringankan beban ibu bekerja yang mempunyai anak kecil.
  • Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan KPWKM 2027 berjumlah RM4.355 bilion selepas dibahas oleh 24 Ahli Parlimen.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia berunding dengan pihak swasta bagi memperluas pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF), khususnya bagi membantu wanita mengimbangi tanggungjawab kerjaya dan keluarga.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata pendekatan itu akan dilaksanakan menerusi perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian yang mengambil kira kepentingan pekerja dan keperluan operasi majikan.

“Kita memang nak (pihak swasta melaksanakan AKF), tetapi kita tak mahu paksa. Kita akan berunding, kalau seseorang menghadapi masalah, mereka boleh cari JPW (Jabatan Pembangunan Wanita), kita akan cuba sedaya upaya untuk memastikan it's a win-win situation,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi KPWKM.

Hui Ying berkata di bawah Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955, pekerja mempunyai hak untuk memohon AKF tetapi pada masa sama, majikan diwajibkan memberi kelulusan atau penolakan secara bertulis dengan alasan dalam tempoh 60 hari dari tarikh permohonan dibuat.

Advertisement

“KPWKM faham bahawa mekanisme ini memberi ruang perundingan yang jelas meskipun keputusan akhir tertakluk kepada kesesuaian operasi serta budi bicara majikan.

“Oleh itu, pendekatan KPWKM adalah tertumpu kepada pengukuhan budaya kerja mesra keluarga, kesedaran majikan dan juga sokongan ekosistem agar hak memohon AKF ini benar-benar diterjemah kepada peluang sebenar bagi wanita,” katanya.

Sementara itu, Hui Ying menyeru lebih banyak majikan menyediakan kemudahan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di tempat kerja bagi membantu meringankan beban ibu bekerja yang mempunyai anak kecil.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru majikan supaya menyediakan TASKA di tempat kerja kerana kerajaan turut menyediakan insentif (potongan cukai) bagi tujuan itu. Kemudahan berkenaan dapat memberikan kelegaan kepada ibu bekerja kerana anak mereka berada dekat dengan tempat kerja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hui Ying berkata sebanyak 172,757 warga emas di seluruh negara menerima Bantuan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hingga September 2026, yang terdiri daripada 72,208 lelaki dan 100,549 orang wanita dengan jumlah perbelanjaan RM919.8 juta.

Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM4.355 bilion yang diperuntukkan kepada KPWKM dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 24 Ahli Parlimen.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement