Ringkasan AI
- JPJ Negeri Sembilan memberi perhatian serius terhadap penglibatan golongan muda, termasuk pelajar sekolah, dalam lumba haram dan aktiviti menguji kelajuan.
- Operasi Khas Seksyen 42A di Senawang merekodkan 13 individu berumur 16 hingga 24 tahun terlibat, dengan 13 kenderaan disita dan 271 notis dikeluarkan.
- JPJ mempergiat operasi penguatkuasaan dan advokasi, serta memantau empat kawasan hotspot lumba haram di Negeri Sembilan.
SEREMBAN: Penglibatan golongan muda, termasuk pelajar sekolah dalam lumba haram dan aksi menguji kelajuan perlu diberi perhatian serius bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Jasyindar Singh Sihdu berkata perkara itu berdasarkan profil kes dalam Operasi Khas Seksyen 42A di Senawang pada Sabtu lepas yang merekodkan kesemua 13 individu terlibat berumur antara 16 hingga 24 tahun yang turut melibatkan pekerja e-hailing.
“Lebih membimbangkan, profil kes menunjukkan kesemua 13 individu yang direkodkan adalah termasuk pelajar sekolah, ini merupakan petunjuk jelas bahawa penglibatan golongan muda dalam aktiviti berisiko di jalan raya memerlukan perhatian dan tindakan pencegahan yang lebih serius,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Negeri di sini pada Selasa.
Beliau berkata operasi berkenaan merupakan kali pertama diadakan selepas pindaan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan Seksyen 42A, menjadikan perbuatan berlumba atau menguji kelajuan di jalan raya sebagai kesalahan khusus.
Jasyindar berkata menerusi operasi itu, sebanyak 120 kenderaan diperiksa dengan 13 daripadanya disita, manakala 271 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Daripada jumlah kesalahan yang direkodkan, tiga kes membabitkan Seksyen 42A(1), iaitu berlumba di jalan raya, manakala empat kes lagi melibatkan Seksyen 42A(2) berkaitan aktiviti menduga kelajuan," katanya.
Beliau berkata sebanyak enam kesalahan ekstrem turut dikesan sepanjang operasi berkenaan antaranya menunggang motosikal tanpa sistem brek depan dan belakang yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
"Selain itu, sebanyak 77 kesalahan dikenal pasti, termasuk kesalahan tayar tidak mengikut piawaian, pengubahsuaian kenderaan dan ekzos, tidak menyelenggara sistem brek, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta kesalahan lampu," katanya.
Jasyindar berkata pihaknya terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berfokus dan berterusan, di samping memperkukuh program advokasi serta kerjasama strategik bersama agensi berkaitan dan komuniti.
Beliau turut menyeru ibu bapa agar memainkan peranan aktif dalam memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak, khususnya golongan remaja yang menggunakan motosikal.
Katanya, terdapat empat kawasan hotspot bagi aktiviti lumba haram yang kini dalam pemerhatian pihaknya, iaitu Jalan Persiaran Senawang, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Jalan Centrio dan Dataran Nilai.
-- BERNAMA