Skip to main content

Malaysia

12 daripada 29 perkara MA63 selesai dalam tempoh empat tahun

Mustapha berkata keutamaan kini adalah memastikan pelaksanaan MA63 terus diangkat sebagai agenda nasional. - Foto fail/BERNAMA
Mustapha berkata keutamaan kini adalah memastikan pelaksanaan MA63 terus diangkat sebagai agenda nasional. - Foto fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Kerajaan MADANI telah menyelesaikan 12 daripada 29 perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 dalam tempoh empat tahun.
  • Antara pencapaian utama ialah pewartaan Pemberian Khas interim Sabah, pelancaran Dashboard MA63, dan libat urus dengan SPR mengenai perwakilan Parlimen.
  • Mustapha Sakmud menekankan keperluan meneruskan agenda MA63 dan menghargai peluang berkhidmat dalam tiga portfolio berbeza di peringkat Persekutuan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan 12 daripada 29 perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh empat tahun, sekali gus mencatatkan pencapaian terbaik dalam pelaksanaan perjanjian itu sejak sedekad lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata keutamaan kini adalah memastikan pelaksanaan MA63 terus diangkat sebagai agenda nasional.

Beliau berkata antara perkembangan setakat ini ialah pewartaan Pemberian Khas interim Sabah pada kadar RM1.5 bilion setahun, pelancaran Dashboard MA63 untuk memudahkan semakan orang ramai dan permulaan libat urus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.

Advertisement

“Karnival MADANI Kenali Borneo yang bermula di Melaka turut membuka ruang untuk lebih ramai rakyat memahami sejarah pembentukan Malaysia serta kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook Selasa malam.

Sempena empat tahun Kerajaan MADANI, Mustapha turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat dalam tiga portfolio berbeza.

Advertisement

“Bermula sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia, kemudian Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan kini sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), setiap amanah memberi saya peluang untuk mendengar sendiri keperluan rakyat dan membawa suara mereka ke peringkat Persekutuan,” katanya.

Mustapha berkata di Kementerian Sumber Manusia, beliau terlibat dalam libat urus pindaan Ordinan Buruh Sabah yang kini memberi pekerja perlindungan lebih baik termasuk cuti bersalin 98 hari, cuti paterniti bagi yang layak dan waktu kerja biasa 45 jam seminggu.

Beliau berkata semasa di Kementerian Pendidikan Tinggi, antara usaha yang diberikan perhatian ialah membantu anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian, memperluas capaian Jom Masuk U, memperkasakan hak mahasiswa serta membuka ruang kepada siswa menyuarakan pandangan menerusi forum TALK TO US.

“Sorotan pencapaian ini adalah peringatan untuk diri saya sendiri agar bekerja lebih keras dan berkesan. Masih banyak yang perlu diselesaikan agar rakyat dapat merasakan islah atau reformasi yang dibawakan oleh Kerajaan MADANI,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement