DUNIA
Jerman laksanakan pembaharuan dasar suaka EU ke dalam undang-undang negara

Pakej yang dipersetujui negara anggota EU untuk dilulus menjadi undang-undang pada Jun 2026 itu, masih perlu mendapat kelulusan Parlimen Jerman. - Gambar fail Reuters
BERLIN: Kerajaan Jerman pada Rabu mengambil langkah melaksanakan pembaharuan dasar suaka Kesatuan Eropah (EU) ke dalam undang-undang negara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kabinet Canselor Friedrich Merz meluluskan cadangan Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan perubahan kepada Sistem Suaka Eropah Bersama (CEAS), yang diterima pakai secara rasmi oleh negara angggota EU pada 2024.
Pakej itu yang dipersetujui oleh negara anggota EU untuk diluluskan menjadi undang-undang pada Jun 2026, masih perlu mendapat kelulusan Parlimen Jerman.
Reformasi itu menetapkan kewajipan untuk menyemak identiti pendatang yang tiba di sempadan EU.Ia juga membenarkan pencari suaka yang dianggap tidak mungkin berjaya untuk menjalani prosedur suaka mereka di sempadan luar EU.
Peraturan itu terpakai kepada migran dari negara yang mempunyai kadar pengiktirafan suaka di seluruh EU kurang daripada 20 peratus. Jika perlu, mereka boleh terus dihantar pulang dari situ.
Kerajaan Jerman sebelum ini meluluskan langkah itu pada November, tetapi gagal sebelum meluluskannya melalui parlimen, menyebabkan proses itu diperbaharui.
Menteri Dalam Negeri, Alexander Dobrindt menyifatkan semua langkah itu sebagai "perubahan penting" dalam komen kepada penyiar awam ZDF pada Rabu.
Beliau memberi amaran yang kebanyakan negara EU mahu "memperkukuh dan memperketat" semua langkah itu lagi, termasuk dengan menekankan kemungkinan penubuhan hab penghantaran pulang di luar EU.
Beliau turut menyatakan bahawa permohonan suaka di Jerman menurun 60 peratus pada Ogos berbanding tahun sebelumnya, dengan alasan penurunan itu berpunca daripada perubahan situasi di Syria dan Afghanistan, selain kesan tarikan Jerman yang semakin berkurangan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami