Skip to main content

Dunia

Jerman pertimbang larang remaja 14, 15 tahun ambil alkohol

51745099052_GermanJermanFlag.jpg
Kabinet Jerman menyokong cadangan yang dikemukakan Menteri Keluarga Karin Prien untuk menghentikan amalan itu.
Advertisement

BERLIN: Kerajaan persekutuan Jerman bersetuju untuk menghentikan amalan "minum di bawah pengawasan" yang ketika ini membenarkan remaja berusia 14 dan 15 tahun minum wain dan bir di bawah pengawasan orang dewasa yang bertanggungjawab, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam mesyuarat di Berlin pada Rabu, Kabinet Jerman menyokong cadangan yang dikemukakan Menteri Keluarga Karin Prien untuk menghentikan amalan itu. Cadangan berkenaan kini akan dibahaskan di Bundestag, dewan rendah Parlimen Jerman.

"Pengecualian dalam Akta Perlindungan Belia yang membenarkan remaja berusia 14 dan 15 tahun mengambil atau membeli minuman beralkohol apabila ditemani individu yang mempunyai tanggungjawab sebagai ibu bapa akan dimansuhkan," menurut draf Kabinet mengenai pembaharuan kebajikan kanak-kanak dan belia.

Draf itu menyatakan pengecualian berkenaan menjejaskan "perlindungan golongan muda daripada kesan serius pengambilan alkohol terhadap kesihatan dan kehidupan sosial, sekali gus bercanggah dengan matlamat kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan usaha pencegahan ketagihan."

Pada dasarnya, had umur 16 tahun sudah terpakai bagi pengambilan bir, wain, wain berkarbonat atau minuman campuran berasaskan minuman berkenaan di tempat awam serta penjualannya. Pengecualian setakat ini terpakai apabila "golongan muda ditemani individu yang mempunyai tanggungjawab sebagai ibu bapa," seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 9 Akta Perlindungan Belia.

Minuman keras pula ketika ini hanya boleh dijual kepada dan diminum oleh orang dewasa, dan peraturan itu akan terus dikekalkan.

Menteri-menteri kesihatan negeri di Jerman menyuarakan sokongan terhadap larangan itu tahun lepas berikutan risiko ketagihan. Pesuruhjaya Dadah Persekutuan Hendrik Streeck turut menyokong larangan berkenaan.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement