UZHHOROD (Ukraine): Wanita pertama Amerika Syarikat, Jill Biden membuat lawatan mengejut ke Ukraine pada Ahad untuk menunjukkan sokongan kepada rakyat negara itu.

Biden melawat sebuah sekolah yang berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara dan bertemu wanita pertama Ukraine, Olena Zelenska.

“Saya fikir adalah penting untuk menunjukkan kepada rakyat Ukraine bahawa perang ini harus dihentikan dan rakyat Amerika Syarikat berdiri bersama Ukraine,” kata Biden, menurut laporan Washington Post.

Sekolah itu berfungsi sebagai tempat perlindungan bagi 163 warga Ukraine yang kehilangan tempat tinggal, termasuk 47 kanak-kanak.

Biden, yang berada di negara jiran Slovakia untuk bercuti, bertemu Zelenska, yang membuat penampilan umum pertamanya sejak pencerobohan Rusia bermula pada 24 Februari, menurut seorang pegawai AS.

Zelenska berkata tindakan Biden itu sangat berani.

"Kami sangat terharu dengan sokongan dan Hari Ibu hari ini adalah sangat simbolik kerana kami juga merasakan kasih sayang dan sokongan anda pada hari ini," kata Zelenska.

Presiden AS, Joe Biden telah mengetuai usaha untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Rusia dan menekan Presiden Vladimir Putin untuk menamatkan perang.

Joe Biden belum pernah ke Ukraine sejak pencerobohan Rusia, tetapi beberapa pegawai tertinggi AS iaitu Setiausaha Negara Antony Blinken, Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin, dan Speaker Nancy Pelosi telah melawat Kiev dalam tempoh dua minggu lepas.