‘Kalau ke Bali, perlu berwaspada, dalam waktu ini ada banyak ancaman serangan pengganas, Kumpulan pengganas tetap aktif walau pihak berkuasa Indonesia cuba mengekang.’

Peringatan itu diumumkan pemerintah Australia kepada warganegaranya yang bercadang melancong ke Indonesia.

Senarai amaran dan pemberitahuan sebegitu diperincikan lagi dengan kemungkinan pelancong terperangkap dalam kes perdaya dan juga risiko bencana alam.

Presiden Indonesia, Joko Widodo bagaimanapun menegaskan bahawa Indonesia masih selamat daripada ancaman serangan keganasan.

"Saya tidak dapat maklumat apa-apa soal keamanan (keselamatan). Ini bermakna Indonesia aman-aman saja," ujar Jokowi yang mengakui belum mendapat laporan baik daripada Badan Intelijen Negara (BIN) ataupun pihak polis mengenai dakwaan tersebut.

Jawapan Jokowi itu, seperti yang disiarkan portal MetroTVNews.com hari ini, adalah sebagai maklum balas kepada kandungan senarai amaran pelancongan yang dikeluarkan pihak Australia dan juga Amerika Syarikat.

“Nasihat perjalanan (travel advice) yang dikeluarkan Australia baru-baru ini tidak perlu dinilai secara berlebihan. Sebab Indonesia masih berada dalam situasi yang kondusif,” ujarnya.

Selain seluruh wilayah Indonesia, pemerintah Australia juga mengeluarkan peringatan khusus untuk Sulawesi Tengah, Maluku, Papua dan Papua Barat. Untuk wilayah-wilayah tersebut, Australia meminta warganya agar langsung tidak menjejakinya jika tidak perlu.

Dalam Indeks Keganasan Global yang dikeluarkan akhir tahun lalu, Indonesia turun dari tangga 25 ke 31 dari 162 negara yang dikenal pasti menjadi lokasi aktiviti keganasan.