Skip to main content

Dunia

Joshua Wong mengaku bersalah atas tuduhan bersekongkol dengan pihak asing

FILE PHOTO: A prison van, believed to be carrying jailed pro-democracy activist Joshua Wong, arrives at the High Court for a national security plea and sentencing hearing, in Hong Kong, China, September 2, 2026. REUTERS/Tyrone Siu TPX IMAGES OF THE DAY/File Photo
Sebuah van penjara yang dipercayai membawa aktivis pro-demokrasi yang dipenjarakan, Joshua Wong, tiba di Mahkamah Tinggi di Hong Kong, China. - Foto REUTERS
Advertisement

HONG KONG: Aktivis prodemokrasi Hong Kong, Joshua Wong, mengaku bersalah atas tuduhan bersekongkol dengan entiti asing, satu kesalahan di bawah Akta Keselamatan Negara (NSL) yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup.

Wong, 29, yang menjadi antara wajah utama gerakan prodemokrasi di Hong Kong, kini sedang menjalani hukuman penjara selama empat tahun lapan bulan selepas disabitkan kesalahan melakukan subversif di bawah undang-undang sama pada penghujung 2024.

Hukuman berkenaan dijadual tamat pada awal tahun depan.

Menurut dokumen mahkamah, tuduhan terbaharu itu mendakwa Wong berkonspirasi dengan beberapa aktivis lain, termasuk aktivis yang hidup dalam buangan, Nathan Law, untuk menggesa negara asing dan entiti di luar China mengenakan sekatan atau bentuk tekanan terhadap Beijing.

Aktiviti berkenaan didakwa berlaku antara Julai hingga akhir November 2020, tahun yang menyaksikan China memperkenalkan NSL di Hong Kong.

Undang-undang kontroversi itu dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia dan negara Barat yang mendakwa ia mewujudkan suasana ketakutan serta mengekang kebebasan bersuara di wilayah berkenaan.

Bagaimanapun, Beijing dan kerajaan Hong Kong mempertahankan pelaksanaannya dengan menyatakan undang-undang itu penting bagi mengekalkan kestabilan dan keselamatan, selain menafikan ia menjejaskan autonomi Hong Kong.

Wong sebelum ini terkenal sebagai antara pemimpin utama Gerakan Payung (Umbrella Movement) pada 2014 serta demonstrasi besar-besaran prodemokrasi yang melanda Hong Kong pada 2019.

Kira-kira 40 penyokong Wong, termasuk rakan aktivis dan kenalan rapatnya, hadir di mahkamah pada Selasa bagi menyatakan sokongan.

Sebahagian daripada mereka dilaporkan melaungkan kata-kata semangat kepada Wong ketika prosiding berlangsung.

Wong yang memakai kemeja biru gelap dilihat tersenyum dan menganggukkan kepala sebagai respons kepada sokongan yang diberikan.

Bekas anggota Liga Demokrat Sosial yang telah dibubarkan, Tsang Kin-shing, berharap mahkamah akan mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan memandangkan Wong telah menghabiskan lebih 2,000 hari di dalam penjara.

Seorang lagi aktivis, Louis Lee, berkata penyokong Wong berasa kecewa apabila aktivis itu berdepan pertuduhan baharu ketika masih menjalani hukuman penjara.

Menurut beliau, Wong terus memanfaatkan masanya di penjara dengan mempelajari perkara baharu termasuk bermain gitar dan bersenam.

Kes yang melibatkan Wong terus mendapat perhatian antarabangsa dan dilihat sebagai antara ujian penting terhadap pelaksanaan Akta Keselamatan Negara di Hong Kong.

 

 

Must Watch Video

Advertisement