SINGAPURA: Jumlah perdagangan Singapura menguncup 8.6 peratus pada asas tahun ke tahun pada Mac dengan jumlah eksport dan import masing-masing turun sebanyak 6.5 peratus dan 10.9 peratus.

Menurut Enterprise Singapore (EnterpriseSG), jumlah perdagangan berkurangan pada Mac 2023 disebabkan penurunan dalam perdagangan minyak (16.1 peratus) dan perdagangan bukan minyak (6.7 peratus).

"Perdagangan minyak merosot dalam persekitaran harga minyak yang lebih rendah berbanding setahun lalu manakala perdagangan bukan minyak menurun disebabkan penurunan dalam perdagangan elektronik (21.6 peratus)," kata EnterpriseSG (EnterpriseSG) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

EnterpriseSG adalah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri republik itu.

Pada asas pelarasan musim bulan ke bulan, EnterpriseSG berkata jumlah dagangan meningkat sebanyak 8.0 peratus pada Mac 2023, selepas penurunan 6.5 peratus pada Februari 2023.

"Jumlah perdagangan mencecah S$104.0 bilion pada Mac 2023, lebih tinggi daripada S$96.4 bilion bulan sebelumnya," katanya.

Pada Mac 2023, jumlah eksport meningkat 6.9 peratus, selepas penurunan 5.8 peratus pada bulan sebelumnya manakala jumlah import meningkat 9.1 peratus, selepas penurunan 7.3 peratus pada Februari 2023, katanya.

Pada asas tahunan, Eksport Dalam Negeri Bukan Minyak (NODX) Singapura menurun sebanyak 8.3 peratus pada Mac 2023, berikutan penguncupan 15.8 peratus pada bulan sebelumnya dengan kedua-dua elektronik dan bukan elektronik merosot.

Barangan elektronik merosot sebanyak 22.3 peratus pada Mac, berikutan penguncupan 26.5 peratus pada bulan sebelumnya manakala produk bukan elektronik menurun sebanyak 4.7 peratus berikutan penguncupan 12.4 peratus pada bulan sebelumnya.

EnterpriseSG berkata NODX ke pasaran teratas secara keseluruhan merosot pada Mac 2023 kecuali Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Penyumbang terbesar kepada penurunan itu ialah China (14.1 peratus), Taiwan (30.4 peratus) dan Malaysia (23.1 peratus), katanya.

Eksport minyak domestik Singapura merosot sebanyak 3.5 peratus pada Mac 2023 tahun ke tahun selepas mencatatkan kenaikan 5.8 peratus pada Februari 2023.

"Eksport lebih rendah ke Indonesia (-15.8 peratus) dan Australia (-16.3 peratus) menyumbang paling banyak kepada penurunan eksport minyak domestik," kata EnterpriseSG.

Daripada segi volum, eksport minyak domestik berkembang sebanyak 24.7 peratus pada Mac 2023, berikutan pertumbuhan 13.5 peratus pada bulan sebelumnya, katanya.

Pada asas bulanan, eksport minyak domestik meningkat sebanyak 8.4 peratus pada Mac 2023, selepas penurunan 4.8 peratus pada Februari 2023.

-- BERNAMA