Junta Myanmar dakwa kesihatan Suu Kyi dalam keadaan 'baik', sangkal kebimbangan anaknya

Aung San Suu Kyi, kini berusia lebih 80 tahun, ditahan sejak rampasan kuasa pada Feb 2021 dan sedang menjalani beberapa hukuman penjara yang dijatuhkan oleh mahkamah yang dikawal tentera. - Gambar fail/REUTERS
BANGKOK: Tentera Myanmar pada Selasa berkata kesihatan penerima Hadiah Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi, berada dalam keadaan "baik", sekali gus bercanggah dengan kebimbangan yang disuarakan oleh anaknya bahawa beliau mungkin telah meninggal dunia.
Ringkasan AI
- Kesihatan Aung San Suu Kyi dalam keadaan "baik" berdasarkan kenyataan tentera Myanmar, bertentangan dengan kebimbangan anaknya yang meragui keadaan ibunya dan menimbulkan spekulasi mengenai kematian beliau.
- Suu Kyi, yang berusia lebih 80 tahun, ditahan selepas rampasan kuasa oleh tentera dengan akses terhadap rawatan perubatan yang tidak jelas, disabitkan dengan beberapa tuduhan, dan tidak pernah muncul di hadapan awam.
- Anaknya, Kim Aris, menuntut pembebasan ibunya dengan peningkatan kebimbangan berikutan kurangnya maklumat dan komunikasi rasmi, terutamanya ketika usia beliau semakin lanjut, sementara tentera mengekang akses kepada pemerhati bebas, diplomat, dan ahli keluarga kepada Suu Kyi.
Aung San Suu Kyi, kini berusia lebih 80 tahun, ditahan sejak rampasan kuasa itu dan sedang menjalani beberapa hukuman penjara yang dijatuhkan oleh mahkamah yang dikawal tentera.
Keadaan penahanannya serta akses kepada rawatan perubatan masih tidak jelas, dengan pengesahan bebas mustahil dilakukan berikutan sekatan ketat yang dikenakan oleh junta.
Suu Kyi adalah pemimpin demokrasi paling menyerlah di Myanmar dan simbol penentangan antarabangsa terhadap pemerintahan tentera.
Beliau dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada 1991 atas perjuangan tanpa keganasan bagi demokrasi ketika berada di bawah tahanan rumah dalam tempoh awal pemerintahan tentera.
Anak kepada wira kemerdekaan Jeneral Aung San, beliau mengetuai Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya 2015, sekali gus menjadi pemimpin awam de facto negara itu dengan gelaran penasihat negara selepas berdekad-dekad penguasaan tentera.
Selepas rampasan kuasa 2021 yang kemudiannya menyaksikan tentera membatalkan keputusan pilihan raya umum yang dimenangi besar-besaran oleh NLD, Suu Kyi ditahan dan kemudian disabitkan atas beberapa pertuduhan yang dikecam secara meluas oleh pemerhati antarabangsa sebagai bermotifkan politik. Beliau tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak ditahan.
Aris berulang kali menyeru pembebasan ibunya dan berkata ketiadaan maklumat serta komunikasi rasmi yang berpanjangan meningkatkan kebimbangannya, lebih-lebih lagi ketika usia ibunya semakin lanjut.
Tentera sebelum ini pernah mengeluarkan jaminan ringkas mengenai kesihatan Aung San Suu Kyi, namun tidak membenarkan pemerhati bebas, diplomat atau ahli keluarga menemuinya.
--BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


