PLYMOUTH, MASSACHUSETTS: Perbicaraan kes pembunuhan melibatkan seorang ibu dari Massachusetts yang didakwa menyebabkan kematian tiga anaknya pada 2023 berakhir tanpa keputusan selepas hakim menamatkan prosiding berikutan kegagalan juri mencapai kata sepakat.
Hakim William Sullivan membuat keputusan itu selepas panel juri yang bermesyuarat selama lebih 38 jam memaklumkan mereka masih gagal mencapai keputusan sebulat suara meskipun telah berunding selama beberapa hari.
Keputusan tersebut bermakna tiada keputusan bersalah atau tidak bersalah dicapai dalam kes berprofil tinggi yang menarik perhatian masyarakat Amerika Syarikat sejak lebih tiga tahun lalu.
Lindsay Clancy, 36, berdepan tiga pertuduhan membunuh anak-anaknya, Cora yang berusia lima tahun, Dawson, tiga tahun, dan Callan yang ketika itu berusia lapan bulan, di kediaman keluarga mereka di Duxbury pada Januari 2023.
Sepanjang perbicaraan, pihak pembelaan tidak mempertikaikan bahawa Clancy menyebabkan kematian ketiga-tiga kanak-kanak itu.
Namun, mereka berhujah bahawa wanita tersebut mengalami gangguan mental serius selepas melahirkan anak sehingga menjejaskan keupayaannya memahami tindakan yang dilakukan ketika kejadian.
Menurut pasukan pembelaan, keadaan mental yang dialami Clancy menyebabkan beliau tidak mampu menilai tindakannya secara rasional, sekali gus tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan secara jenayah atas perbuatannya.
Sebaliknya, pihak pendakwa raya berhujah bahawa Clancy masih mengetahui perbezaan antara betul dan salah ketika kejadian berlaku. Mereka mendakwa terdapat unsur perancangan yang menunjukkan beliau memahami sepenuhnya kesan perbuatannya.
Juri dilaporkan beberapa kali memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka menemui jalan buntu.
Dalam usaha mencapai keputusan, hakim turut mengarahkan mereka meneruskan perbincangan, namun usaha itu gagal menghasilkan kata sepakat.
Sebelum prosiding ditamatkan, pihak pembelaan cuba mendapatkan campur tangan mahkamah tertinggi Massachusetts berhubung isu seorang juri yang didakwa enggan menerima hujah tertentu dalam kes itu, namun permohonan tersebut ditolak.
Susulan perkembangan itu, pendakwa raya kini perlu memutuskan sama ada akan mengadakan perbicaraan semula atau mengambil langkah undang-undang lain.
Setakat ini, pertuduhan terhadap Clancy masih kekal dan kes berkenaan belum selesai sepenuhnya.
Kes Lindsay Clancy mencetuskan perdebatan meluas di Amerika Syarikat mengenai kesihatan mental ibu selepas bersalin serta persoalan sama ada seseorang yang mengalami gangguan mental serius boleh dipertanggungjawabkan secara jenayah atas tindakannya. - Agensi