DUNIA
Jutaan rumah di Australia terancam kesan kenaikan aras laut - Laporan kerajaan

Sebanyak 1.5 juta rumah di pesisir pantai berisiko terjejas akibat kenaikan aras laut menjelang 2050 sekiranya suhu global melebihi 3 darjah Celsius berbanding era pra-industri. - AP
CANBERRA: Jutaan rumah di Australia bakal terancam akibat kenaikan aras laut, manakala jumlah kematian berkaitan cuaca panas dijangka meningkat lebih dua kali ganda sekiranya pemanasan global melebihi 3 darjah Celsius (3C), menurut laporan kerajaan yang dikeluarkan pada Isnin, lapor Xinhua.
Penilaian Risiko Iklim Kebangsaan (NCRA) pertama Australia yang diterbitkan oleh Perkhidmatan Iklim Australia (ACS) mendapati sebanyak 1.5 juta rumah di pesisir pantai berisiko terjejas akibat kenaikan aras laut menjelang 2050 sekiranya suhu global melebihi 3 darjah Celsius berbanding era pra-industri.
Menjelang 2090, lebih 3 juta rumah dijangka berisiko jika senario itu menjadi kenyataan.
Di bawah senario itu, jumlah kematian akibat cuaca panas dijangka meningkat 444 peratus di Sydney dan 259 peratus di Melbourne.Jika pemanasan global dapat dihadkan kepada 1.5 darjah Celsius, kadar kematian berkaitan panas masih meningkat 103 peratus di Sydney dan 60 peratus di Melbourne, menurut laporan itu.
"Rakyat Australia sudah pun hidup dengan kesan perubahan iklim hari ini, namun jelas bahawa setiap darjah pemanasan yang berjaya kita elakkan kini akan membantu generasi akan datang daripada mengalami impak paling buruk pada masa depan," kata Menteri Perubahan Iklim dan Tenaga, Chris Bowen dalam satu kenyataan.
Laporan itu mendapati suhu purata global kini 1.2 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata pra-industri 1850-1900, manakala iklim Australia sendiri meningkat 1.5 darjah Celsius sejak rekod kebangsaan bermula pada 1910.
Pada tahap 3 darjah Celsius, banyak spesies haiwan Australia akan dipaksa untuk berpindah, menyesuaikan diri dengan keadaan baharu atau pupus, dengan sehingga 70 peratus tumbuhan asli akan terdedah kepada keadaan yang tidak pernah dialami sebelum ini.
Sebagai respons kepada laporan itu, kerajaan turut mengeluarkan Pelan Adaptasi Kebangsaan pertama Australia yang merangkumi tindakan penyesuaian yang sedang dilaksanakan.
Kerajaan dijangka mengumumkan sasaran pengurangan pelepasan karbon Australia bagi 2035 dalam beberapa hari lagi.
-- BERNAMA
Dapatkan tip menghadapi cuaca panas dan info empangan di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami