LONDON: Seramai 120 golongan jutawan di United Kingdom (UK) menandatangani surat terbuka menggesa Perdana Menteri baharu, Andy Burnham, mengenakan cukai lebih tinggi terhadap golongan paling kaya bagi mengurangkan ketidaksamaan ekonomi di negara itu.
Kumpulan yang berhimpun di bawah gabungan Patriotic Millionaires UK itu menyatakan kesediaan untuk menyumbang lebih banyak hasil kepada negara menerusi pembaharuan sistem percukaian.
Antara tokoh yang menyokong gesaan berkenaan ialah bekas pengacara sukan BBC, Gary Lineker; pemuzik Brian Eno; dan pengarah filem terkenal, Richard Curtis.
Menerusi surat terbuka tersebut, golongan jutawan itu berkata mereka mampu dan bersedia membayar cukai kekayaan yang lebih tinggi bagi membantu membiayai perkhidmatan awam seperti hospital, sekolah serta sektor penjagaan sosial.
Patriotic Millionaires UK mencadangkan cukai sebanyak dua peratus ke atas kekayaan melebihi £10 juta, yang menurut kumpulan itu berpotensi menjana hasil sekitar £24 bilion setahun kepada kerajaan UK.
Mengulas cadangan itu, Burnham dilaporkan tidak menolak kemungkinan melaksanakan cukai kekayaan pada masa hadapan.
Sebelum ini beliau berkata kerajaan mungkin perlu "meminta sedikit lagi" daripada golongan paling kaya bagi membantu memulihkan ekonomi negara.
Bagaimanapun, cadangan berkenaan menerima kritikan daripada parti pembangkang termasuk Reform UK dan Parti Konservatif yang mendakwa langkah tersebut berisiko menjejaskan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi domestik.