Skip to main content

Bisnes

Koperasi bukan sekadar kutip dividen, ahli perlu aktif jana keuntungan – Penganalisis

Suhaiza Hanim berkata, konsep koperasi menuntut setiap ahli memainkan peranan secara proaktif dengan menggabungkan kepakaran, kemahiran dan sumber bagi mencapai matlamat ekonomi bersama. - Gambar Astro AWANI
Suhaiza Hanim berkata, konsep koperasi menuntut setiap ahli memainkan peranan secara proaktif dengan menggabungkan kepakaran, kemahiran dan sumber bagi mencapai matlamat ekonomi bersama. - Gambar Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Kejayaan koperasi bergantung kepada penglibatan aktif ahli, bukan hanya pulangan dividen, bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan.
  • Statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia menunjukkan 16,468 koperasi dengan 7.33 juta ahli dan perolehan RM81.62 bilion sehingga Disember 2025.
  • 82 peratus koperasi masih dalam kategori mikro, manakala 348 koperasi besar menyumbang hampir 97 peratus perolehan sektor tersebut.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kejayaan sesebuah koperasi tidak seharusnya diukur berdasarkan pulangan dividen semata-mata, sebaliknya bergantung kepada penglibatan aktif setiap ahli dalam menjayakan aktiviti perniagaan dan menjana keuntungan bersama.

Profesor Jabatan Sains Pemutusan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Datin Sri Prof. Dr. Suhaiza Hanim Mohamad Zailani berkata, mentaliti yang hanya mengharapkan perkongsian keuntungan tanpa memahami proses menjana pendapatan boleh menjejaskan kelangsungan sesebuah koperasi.

Menurut beliau, konsep koperasi menuntut setiap ahli memainkan peranan secara proaktif dengan menggabungkan kepakaran, kemahiran dan sumber bagi mencapai matlamat ekonomi bersama.

Advertisement

“Dia (ahli) hanya fikir perkongsian keuntungan, tapi dia tidak tahu proses untuk jana keuntungan itu perlu ada pemerkasaan. Semua kena bergerak. Jadi ahli-ahli proaktif.

“Oleh yang demikian, kelemahan seseorang itu akan ditampung oleh kekuatan yang lain untuk menjadi kekuatan koperasi tersebut,” katanya dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.

Advertisement

Suhaiza Hanim turut mengingatkan bahawa kewujudan ahli yang tidak aktif berisiko mewujudkan ketidakseimbangan tanggungjawab apabila sebahagian ahli bekerja keras, sedangkan yang lain hanya menunggu agihan keuntungan pada akhir tahun.

Sementara itu, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyifatkan pengurusan koperasi sebagai usaha bersama yang memerlukan pembahagian peranan jelas serta komitmen menyeluruh daripada setiap ahli.

Beliau berkata, budaya masyarakat yang terlalu menumpukan kadar dividen ketika menyertai koperasi perlu diubah bagi memastikan gerakan itu terus berkembang sebagai instrumen ekonomi rakyat.

“Dalam berkoperasi, semua orang mesti berperanan. Maknanya semua orang mesti aktif. Jadi kalau ada ahli tidak aktif, ia akan jadi masalah.

“Cuma di Malaysia kita lihat, bila masuk koperasi, (perkara yang dititikberatkan) berapa dividen koperasi ini? Itu sahaja,” katanya.

Sebagai latar belakang, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melaporkan, sebanyak 16,468 koperasi direkodkan di seluruh negara sehingga Disember 2025 dengan jumlah keanggotaan mencecah 7.33 juta serta perolehan RM81.62 bilion, meningkat 19.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, sebanyak 13,504 koperasi atau 82 peratus masih berada dalam kategori mikro, manakala hanya 348 koperasi berskala besar menyumbang hampir 97 peratus daripada keseluruhan perolehan sektor berkenaan.

Jurang itu memperlihatkan cabaran dalam memperkukuh keupayaan perniagaan koperasi berskala kecil, sekali gus memberikan konteks kepada gesaan supaya penglibatan aktif ahli dan pembangunan aktiviti ekonomi diberi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan koperasi yang lebih menyeluruh.

Dialog Poket Rakyat: Ekonomi Koperasi, Kuasa Ekonomi Rakyat?

Must Watch Video

Advertisement