Ringkasan AI
- Ancaman bom menyasarkan penerbangan, lapangan terbang dan organisasi media di sekurang-kurangnya empat negara Eropah pada Jumaat, mencetuskan pemeriksaan keselamatan dan pengosongan premis.
- Polis Czech dan Perancis menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa pesawat susulan ancaman, manakala organisasi media di Ireland dan Britain turut menerima ancaman serupa.
- Pihak berkuasa sedang menyiasat punca ancaman, dengan kerajaan Ireland menegaskan keselamatan kakitangan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab.
ISTANBUL/BRUSSELS/LONDON: Ancaman bom menyasarkan penerbangan, lapangan terbang dan organisasi media di sekurang-kurangnya empat negara Eropah pada Jumaat, sekali gus mencetuskan pemeriksaan keselamatan dan pengosongan premis, menurut pihak berkuasa dan media tempatan, lapor Anadolu Ajansi.
Polis Czech sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sembilan pesawat susulan ancaman tanpa nama yang menyasarkan penerbangan tiba di dan berlepas dari Lapangan Terbang Prague, menurut pihak berkuasa.
Ancaman itu melibatkan empat penerbangan ketibaan dan lima penerbangan berlepas, kata jurucakap lapangan terbang Denisa Hejtmankova, sambil memaklumkan kesemua sembilan pesawat berada di darat dan sedang menjalani pemeriksaan polis, menurut penyiar CNN Prima News.
Polis dalam kenyataan menerusi platform media sosial X berkata, ancaman mengenai dakwaan peletakan bahan letupan di dalam beberapa pesawat yang terbang ke dan dari Lapangan Terbang Prague sekali lagi dilaporkan pada Jumaat.
Pihak lapangan terbang berkata langkah keselamatan tambahan itu tidak akan menjejaskan operasi secara ketara.
Pejabat Perdana Menteri Perancis berkata, empat pesawat yang terbang di ruang udara negara itu menerima ancaman bom pada Jumaat, menurut akhbar harian Perancis, Le Parisien.
Kesemua empat pesawat mendarat dengan selamat, manakala pasukan pemusnah bom menjalankan pemeriksaan keselamatan, menurut pejabat itu.
Pihak berkuasa melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca ancaman berkenaan.
Pada Khamis, sebuah pesawat Airbus A320 yang dalam perjalanan dari Dublin ke Rom dilencongkan ke pangkalan udara Evreux di utara Perancis susulan ancaman bom.
Polis Copenhagen memaklumkan, pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Copenhagen selesai susulan ancaman baharu terhadap trafik udara, lapor agensi berita Denmark, Ritzau.
Polis menyifatkan kehadiran mereka sebagai langkah berjaga-jaga dan berkata hasil penilaian mendapati tiada bahaya terhadap penumpang atau pengguna lapangan terbang yang lain.
Sasaran sebenar ancaman pada Jumaat masih belum dikenal pasti.
Polis berkata, pihaknya sedang menyiasat ancaman terbaharu itu bersama-sama ancaman yang diterima pada Khamis, tanpa memberikan butiran lanjut.
Insiden terbaharu itu menyusuli beberapa siri ancaman bom palsu yang mengganggu puluhan penerbangan penumpang di seluruh Eropah, sehingga memaksa beberapa pesawat melakukan pendaratan di luar jadual.
Beberapa organisasi media Ireland mengosongkan premis mereka buat sementara waktu pada Jumaat selepas satu e-mel berunsur ancaman dihantar kepada penyiar dan organisasi berita di Ireland serta Britain, menurut penyiar awam Ireland, RTE.
Penyampai dan kakitangan meninggalkan ibu pejabat RTE di Donnybrook, Dublin, sementara polis menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan dengan bantuan anjing pengesan.
Penyiar itu beralih kepada siaran rakaman sebagai langkah berjaga-jaga, manakala program Radio 1 Today diteruskan menerusi kenderaan penyiaran luar.
Polis Ireland berkata pihaknya “menyedari ancaman yang dibuat terhadap organisasi media di negara ini dan di Eropah.”
Perdana Menteri, Micheal Martin menyifatkan ancaman terhadap RTE dan organisasi media lain di Ireland serta Britain sebagai “membimbangkan” dan berkata kerajaan memandang serius perkara itu.
Polis dan Angkatan Pertahanan sedang berusaha mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, kata Martin sambil berkata bahawa pihak berkuasa masih belum dapat memastikan sama ada ancaman itu dilakukan oleh seorang individu atau kumpulan yang lebih teratur.
Beliau berkata, kerajaan akan “mengambil tindakan terhadap perkara ini” dan pakar kerajaan yang berkemahiran sedang berusaha mengenal pasti individu di sebalik ancaman berkenaan.
Martin menggesa organisasi yang menerima ancaman agar melaporkannya kepada polis bagi membantu pihak berkuasa mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai situasi itu.
Mediahuis Ireland dan Independent News Media turut mengosongkan pejabat mereka di Talbot Street, Dublin, buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.
Virgin Media juga menerima ancaman berkenaan tetapi tidak mengosongkan premisnya dan meneruskan operasi penyiaran.
RTE berkata, keselamatan kakitangan kekal sebagai keutamaan dan perkhidmatan seperti biasa akan disambung semula secepat mungkin selepas berunding dengan pihak polis.
-- BERNAMA-ANADOLU