“Kami tuan di negara sendiri” - PM Kanada, Mark Carney jawab ancaman Presiden Trump

Perdana Menteri Carney menyangkal kenyataan serta ancaman terbaharu Presiden Amerika Trump dengan menegaskan, Kanada tidak bergantung kepada AS untuk terus bertahan. - Gambar Reuters
QUEBEC CITY: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney pada Khamis menyangkal kenyataan serta ancaman terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dengan menegaskan bahawa negaranya tidak bergantung kepada AS untuk terus bertahan.
Dalam ucapannya, Carney menegaskan, Kanada dan Amerika Syarikat sememangnya telah membina kerjasama yang kukuh dalam aspek ekonomi, keselamatan serta pertukaran budaya yang kaya.
Namun, katanya, kejayaan Kanada bukan kerana Amerika Syarikat.
“Kanada dan Amerika Syarikat telah membina satu perkongsian yang luar biasa dalam ekonomi, keselamatan dan pertukaran budaya,” katanya ketika berucap di Citadelle, di sini.
“Namun Kanada tidak hidup kerana Amerika Syarikat. Kanada terus berkembang kerana kami adalah rakyat Kanada.”
Carney turut mengulangi slogan politik terkenal di Quebec dalam bahasa Perancis dengan menyatakan: “Kami adalah tuan di rumah sendiri. Ini adalah negara kami, ini masa depan kami, dan pilihan terletak di tangan kami.”
Pemilihan lokasi ucapan tersebut juga sarat dengan simbolik sejarah.
Citadelle dibina pada 1820 sebagai kubu pertahanan bagi menangkis ancaman tentera Amerika Syarikat, kurang sedekad selepas kegagalan pencerobohan Amerika ke atas Kanada.
Ketegangan retorik diperhebatkan Trump minggu ini apabila beliau memuat naik imej peta Amerika Utara yang memaparkan Kanada, Greenland dan Venezuela ‘ditenggelamkan’ oleh warna bendera Amerika Syarikat.
Sehari selepas itu, Trump mendakwa, Kanada tidak bersyukur terhadap pelbagai “kemudahan percuma” yang didakwanya diberikan oleh Amerika Syarikat, ketika berucap di Davos, Switzerland.
Dalam pada itu, Carney turut memberi amaran kepada pemimpin dunia di Davos mengenai kemungkinan berlakunya “perpecahan global”, sambil menegaskan bahawa negara-negara kuasa sederhana perlu bekerjasama.
“Jika kita tidak berada di meja rundingan, kita akan menjadi bahan pertaruhan,” katanya. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


