Skip to main content

Dunia

Apabila bilionair Rusia mula berfikir masa depan negara selepas era pemerintahan Putin - BBC

Ramai bilionair Rusia masih percaya sebarang cubaan mencabar Putin ketika beliau masih berkuasa boleh membawa risiko besar, termasuk kehilangan kekayaan dan kebebasan. - Gambar fail
Ramai bilionair Rusia masih percaya sebarang cubaan mencabar Putin ketika beliau masih berkuasa boleh membawa risiko besar, termasuk kehilangan kekayaan dan kebebasan. - Gambar fail
Advertisement

MOSCOW: Beberapa jam selepas melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022, Presiden Rusia, Vladimir Putin, menghimpunkan individu-individu terkaya negara itu di Dewan Yekaterininsky, Kremlin.

Lebih 30 hartawan hadir dalam pertemuan tersebut, duduk berjauhan sambil memakai pelitup muka susulan pandemik COVID-19. Putin pula duduk di bahagian bertentangan dewan yang luas tanpa memakai pelitup muka.

Dalam ucapan yang disampaikan dengan bahasa tersirat yang menjadi kebiasaannya, beliau memberi isyarat bahawa golongan elit perniagaan perlu menyokong usaha perang Rusia.

Advertisement

"Saya mahu anda memahami apa yang sedang berlaku dan bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari kaedah yang dapat menyokong pengeluaran, ekonomi serta pekerjaan," katanya.

Rakaman video yang diterbitkan Kremlin menunjukkan tiada seorang pun bilionair yang hadir memberikan sebarang respons secara terbuka.

Advertisement

Berdiam diri itu merupakan cerminan budaya senyap yang telah lama menjadi sebahagian daripada golongan kaya raya Rusia. 

Sepanjang lebih dua dekad pemerintahan Putin, mereka memahami bahawa menyuarakan pandangan yang bertentangan boleh membawa akibat yang besar.

Peristiwa yang menimpa bekas individu terkaya Rusia, Mikhail Khodorkovsky sering dijadikan contoh. 

Pada 2003, beliau secara terbuka menuduh Putin membiarkan gejala rasuah berleluasa sebelum dipenjarakan selama sedekad atas pelbagai tuduhan berkaitan cukai dan penyelewengan yang dinafikannya.

Namun, di sebalik sikap membisu itu, semakin banyak tanda menunjukkan sebahagian elit korporat Rusia mula memikirkan kemungkinan masa depan negara itu tanpa Putin.

Menurut wartawan kanan The Economist, Arkady Ostrovsky yang baru-baru ini menemu bual salah seorang individu terkaya Rusia, sedang berlaku perubahan besar dalam cara golongan ultra kaya melihat masa depan politik negara itu.

Era oligarki dan kebangkitan Putin

Kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991 melahirkan golongan oligarki, iaitu individu yang memanfaatkan peralihan kepada ekonomi pasaran bebas dan mengumpul kekayaan luar biasa dalam tempoh singkat.

Pada dekad 1990-an yang sering digelar era "liar", syarikat milik kerajaan dijual dan dipindahkan kepada pihak swasta, membolehkan mereka yang mempunyai hubungan serta pengaruh menjadi jutawan dan bilionair hampir sekelip mata.

Ketika itu, wang bermakna kuasa.

Bagaimanapun, landskap tersebut berubah sebaik Putin mengambil alih tampuk kepimpinan Rusia pada 2000.

Beliau secara beransur-ansur mengekang pengaruh oligarki dan menumpukan kuasa kepada institusi presiden. 

Ketika ekonomi Rusia mula pulih dan kerajaan pusat semakin kukuh, Putin tidak lagi bergantung kepada golongan hartawan untuk mengukuhkan kedudukannya.

Menurut pelabur Barat dan pengkritik Kremlin, Bill Browder, golongan bilionair Rusia akhirnya tunduk kepada sistem yang dibentuk Putin dan kehilangan pengaruh politik yang pernah mereka miliki.

Kaya tetapi tidak berkuasa

Sejak perang di Ukraine tercetus pada 2022, Kremlin dilihat menggunakan pendekatan "ganjaran dan hukuman" bagi memastikan kesetiaan golongan kaya.

Mereka yang mengkritik perang berdepan rampasan aset, manakala individu yang kekal setia memperoleh kontrak kerajaan berkaitan industri pertahanan dan perang.

Hasilnya, jumlah bilionair Rusia kini mencatat rekod tertinggi.

Menurut Forbes, Rusia mempunyai 155 bilionair dengan jumlah kekayaan kolektif hampir AS$700 bilion.

Namun, kekayaan itu tidak semestinya diterjemahkan kepada pengaruh politik.

Penganalisis politik dalam buangan, Dmitry Nekrasov berkata, para hartawan Rusia tidak lagi mempunyai kedudukan tawar-menawar yang kuat.

"Mereka kaya kerana hubungan dengan Putin, bukan sebaliknya," katanya.

Di peringkat antarabangsa pula, sekatan yang dikenakan negara Barat telah mengehadkan kebebasan mereka, termasuk penggunaan jet peribadi dan kapal layar di banyak negara Eropah.

Tiga kemungkinan Rusia selepas Putin

Tiada petunjuk segera bahawa presiden itu akan meninggalkan jawatannya, dan tiada alasan untuk mengandaikan beliau berada dalam keadaan kesihatan yang tidak baik. 

Namun, Putin yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-74 bulan lalu, telah berada di Kremlin selama kira-kira 25 tahun. 

Justeru, ramai di Moscow sedar bahawa suatu hari nanti era kepimpinannya pasti akan berakhir.

Ketika ditanya Reuters tahun lalu sama ada beliau berhasrat untuk terus memegang jawatan sehingga 2036, iaitu tarikh akhir penggalnya mengikut Perlembagaan Rusia, Putin menjawab: "Hanya Tuhan yang tahu sama ada kita masih mempunyai kesihatan yang mencukupi."

Jika Putin meletakkan jawatan atau meninggal dunia ketika masih memegang kuasa, Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin, akan mengambil alih tampuk pemerintahan.

Namun, Mishustin tidak pernah memperlihatkan cita-cita untuk menjadi presiden, malah itulah yang dipercayai menjadi antara sebab utama beliau dipilih ke jawatan tersebut. Keadaan itu berpotensi mewujudkan kekosongan kuasa dalam kepimpinan negara.

Dalam senario itu, beberapa pemerhati politik Rusia yang ditemui menjangkakan beberapa kemungkinan boleh berlaku bagi menentukan hala tuju negara tersebut selepas era Putin.

Pemerhati politik menjangkakan beberapa kemungkinan jika Putin berundur atau meninggal dunia ketika masih memegang jawatan.

Pilihan pertama ialah peralihan kepada sistem yang lebih demokratik dengan institusi yang lebih bebas dan persaingan politik yang lebih terbuka.

Namun ramai penganalisis berpendapat, senario itu agak sukar kerana banyak institusi demokrasi telah dilemahkan sepanjang era Putin.

Pilihan kedua ialah kemunculan pemimpin autoritarian baharu yang meneruskan pendekatan pemerintahan sedia ada.

Pilihan ketiga, yang dilihat menarik minat sebahagian oligarki, ialah kebangkitan semula golongan elit perniagaan sebagai kuasa politik utama seperti yang berlaku pada dekad 1990-an.

Dalam senario itu, Rusia mungkin ditadbir oleh gabungan beberapa kelompok elit politik dan perniagaan yang berkongsi kepentingan strategik.

Mula berani bercakap

Petunjuk paling jelas mengenai perubahan sentimen dalam kalangan elit korporat Rusia muncul menerusi wawancara bilionair Andrey Melnichenko dengan The Economist tahun ini.

Melnichenko yang dikenali sebagai "Raja Baja Dunia" tidak menyeru Putin berundur, namun, beliau menggesa perubahan yang mampu menamatkan dominasi pemerintahan individu tunggal di Rusia.

Beliau juga berhujah bahawa Rusia perlu lebih terbuka untuk berinteraksi dengan dunia luar.

Bagi penganalisis Alexandra Prokopenko, kenyataan itu boleh dianggap sebagai usaha memulakan perbincangan dalam kalangan golongan kaya berhubung masa depan negara.

Walaupun tiada tokoh korporat lain tampil menyokongnya secara terbuka, ramai pemerhati percaya pandangan Melnichenko mencerminkan kegelisahan yang semakin meningkat dalam kalangan elit perniagaan Rusia.

Menurut Ostrovsky, terdapat segelintir hartawan yang membayangkan Rusia pasca-Putin sebagai sebuah "republik oligarki", iaitu sistem yang memberikan semula pengaruh besar kepada golongan korporat sebagaimana yang berlaku pada era 1990-an.

Ketakutan masih membelenggu

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat, tidak banyak yang akan berubah dalam masa terdekat.

Ramai bilionair Rusia masih percaya sebarang cubaan mencabar Putin ketika beliau masih berkuasa boleh membawa risiko besar, termasuk kehilangan kekayaan dan kebebasan.

Malah, Prokopenko mendedahkan beliau pernah menemubual seorang hartawan yang memilih untuk duduk di atas telefon bimbitnya sepanjang pertemuan kerana terlalu bimbang terhadap kemungkinan dipantau oleh pihak berkuasa.

Ketakutan sebegitu menunjukkan betapa kuatnya budaya kawalan dan pengawasan yang wujud dalam Rusia hari ini.

Walaupun golongan kaya Rusia dikatakan mula membayangkan masa depan tanpa Putin, hakikatnya mereka masih belum bersedia untuk bertindak.

Apa yang pasti, jika era Putin berakhir suatu hari nanti, golongan oligarki dijangka akan berusaha mendapatkan semula pengaruh politik yang pernah mereka nikmati. 

Persoalannya, adakah saki-baki sistem yang dibina Putin akan membenarkan perkara itu berlaku?  - BBC


  • Artikel ini merupakan terjemahan dan adaptasi daripada laporan BBC bertajuk "Russia's Mega-Rich Are Already Imagining a Future After Putin", yang mengupas pandangan serta jangkaan golongan elit perniagaan Rusia terhadap landskap politik negara itu selepas era Vladimir Putin.

Must Watch Video

Advertisement