Ringkasan AI
- Jensen Huang dilaporkan berbincang dengan sekutunya mengenai kemungkinan kembali menerajui Nvidia selepas meletak jawatan pada 12 November lalu.
- Beberapa pemimpin industri dan pelabur utama, termasuk Elon Musk dan Tim Sweeney, menyokong gesaan agar Huang dilantik semula sebagai CEO Nvidia.
- Lembaga pengarah Nvidia sedang menjalankan siasatan bebas terhadap tingkah laku Huang, sementara tekanan dari Washington untuk rombakan kepimpinan semakin meningkat.
ISTANBUL: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang dilaporkan sedang berbincang dengan beberapa individu yang dipercayainya mengenai kemungkinan kembali menerajui syarikat pengeluar cip Amerika Syarikat (AS) itu, ketika sekutunya di Silicon Valley menggerakkan usaha mendesak supaya beliau dilantik semula, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Financial Times pada Ahad.
Menurut akhbar Britain itu yang memetik sekutu Huang, beberapa eksekutif teknologi sedang membentuk sebuah pasukan khas dengan sokongan beliau bagi melobi lembaga pengarah Nvidia serta mendapatkan sokongan White House.
Pemegang saham utama dan pemimpin industri termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk serta CEO Epic Games, Tim Sweeney turut menyokong gesaan terbuka supaya lembaga pengarah membawa Huang kembali menerajui syarikat itu.
Pelabur Brad Gerstner dan Gavin Baker juga menggesa lembaga pengarah supaya mempertimbangkan semua pilihan yang ada dengan mengambil kira rekod kepimpinan Huang.
Bagaimanapun, di sebalik desakan terbuka pemimpin industri teknologi itu, seorang individu yang terbabit dalam usaha berkenaan mengakui bahawa hubungan sulit dengan pekerja bawahan merupakan kesalahan yang boleh membawa kepada pemecatan.
Huang meletak jawatan pada 12 Nov selepas lebih tiga dekad menerajui syarikat pengeluar cip AS itu susulan laporan yang mengaitkannya dengan hubungan sulit bersama Alice Huang, seorang wanita yang disyaki oleh pegawai perisikan AS menjalankan kegiatan pengintipan untuk China.
Lembaga pengarah Nvidia kini menjalankan siasatan bebas terhadap tingkah laku beliau.
Kempen membawa Huang kembali turut berlangsung ketika tekanan semakin meningkat dari Washington, dengan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent pada Ahad menggesa rombakan besar-besaran dalam kepimpinan Nvidia.
Bessent menggesa syarikat itu mencari CEO baharu membabitkan calon luar, manakala Presiden AS Donald Trump mencadangkan Pengerusi Eksekutif Apple, Tim Cook untuk jawatan berkenaan.
Menurut Financial Times, jurucakap Nvidia dan Huang enggan mengulas mengenai perkara itu.
-- BERNAMA-ANADOLU