KUCHING, SARAWAK: Kesukaran mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan akibat faktor geografi dan jarak perjalanan bukan lagi penghalang mutlak buat masyarakat pedalaman Sarawak apabila Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (HPUNIMAS) memperkenalkan MediReach, inisiatif jangkauan kesihatan yang membawa kepakaran perubatan terus kepada komuniti setempat.
Dilaksanakan sejak 2023 menerusi Program KPT Prihatin MADANI, MediReach memberi tumpuan kepada penduduk di kawasan pedalaman, khususnya komuniti yang berdepan kekangan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kesihatan akibat kedudukan penempatan yang jauh daripada kemudahan perubatan.
Pengarah HPUNIMAS, Prof. Dr. Ehfa Bujang Safawi berkata, inisiatif itu diwujudkan bagi memastikan masyarakat di kawasan terpencil turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada perjalanan jauh ke hospital atau klinik.
"Setakat ini, MediReach sudah menjangkau lebih 40 kampung di seluruh Sarawak, sekali gus memperluas capaian perkhidmatan kesihatan kepada komuniti yang sebelum ini mempunyai akses terhad kepada pemeriksaan perubatan secara berkala.
"Keunikan pendekatan MediReach terletak pada usaha membawa pasukan perubatan ke lapangan, merangkumi doktor, petugas kesihatan dan tenaga sokongan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pemeriksaan kesihatan, konsultasi serta pengesanan awal penyakit," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Dr. Ehfa berkata, selain pemeriksaan asas, pendekatan itu turut memanfaatkan teknologi perubatan seperti pemeriksaan sinar-X bergerak bagi membantu saringan tuberkulosis (TB), selain penggunaan ultrasound bagi menyokong pemeriksaan dan penilaian kesihatan penduduk.
Tambah beliau, penggunaan teknologi digital turut menjadi sebahagian daripada pendekatan perkhidmatan menerusi sistem NomadConnect yang membolehkan rekod kesihatan dikendalikan secara luar talian, bersesuaian dengan keadaan kawasan pedalaman yang mempunyai capaian internet terhad.
"Menerusi sokongan teleperubatan, usaha menghubungkan petugas kesihatan di lapangan dengan kepakaran perubatan turut membantu memperluas akses kepada konsultasi dan penilaian kesihatan, khususnya apabila jarak menjadi kekangan untuk mendapatkan khidmat pakar secara fizikal.
"Bagaimanapun, pelaksanaan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman bukan tanpa cabaran, khususnya dari segi perjalanan, logistik, keadaan muka bumi dan keperluan menyelaras pergerakan pasukan perubatan bersama peralatan ke lokasi yang sukar diakses," ujarnya.
Kerjasama antara HPUNIMAS, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), agensi berkaitan dan komuniti setempat menjadi antara elemen penting dalam memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan serta memberi manfaat kepada kumpulan sasar.
MediReach mencerminkan peranan universiti awam yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pendidikan dan penyelidikan, malah memanfaatkan kepakaran serta teknologi untuk menyelesaikan masalah masyarakat, khususnya dalam memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan tidak terhad kepada penduduk di kawasan bandar semata-mata.
Inovasi MediReach turut diketengahkan pada Festival Idea Putrajaya 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai antara hasil penyelidikan dan inovasi universiti awam yang memberi impak langsung kepada masyarakat.
Penyertaan itu mencerminkan komitmen UNIMAS dalam menterjemahkan kepakaran akademik dan teknologi kepada penyelesaian praktikal, khususnya dalam menangani jurang akses kesihatan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti pedalaman Sarawak.