Skip to main content
Advertisement

Dunia

Kanada tegas sokong penyelesaian dua negara bagi Israel dan Palestin

X @MarkJCarney
Kanada teguh sokong penyelesaian dua negara, sertai usaha damai Palestin-Israel di PBB. - Foto X/Mark Carney
Advertisement

NEW YORK: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menegaskan sokongan negaranya terhadap penyelesaian dua negara bagi Israel dan Palestin kekal teguh dan telah lama menjadi dasar Kanada.

Menerusi hantaran di platform X, Carney berkata Kanada menyertai United Kingdom, Perancis dan Arab Saudi dalam perbincangan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghimpunkan rakan-rakan antarabangsa untuk mencari jalan ke arah keamanan berkekalan di Asia Barat.

Menurut beliau, usaha itu bertujuan mewujudkan keadaan yang membolehkan rakyat Israel dan Palestin hidup bersebelahan dalam suasana aman, selamat dan bermaruah.

"Sokongan Kanada terhadap penyelesaian dua negara adalah pendirian yang konsisten dan tidak berubah," katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika isu Palestin kembali menjadi tumpuan pada Perhimpunan Agung PBB, dengan beberapa pemimpin dunia menggesa langkah lebih konkrit bagi menamatkan konflik yang berlarutan di Gaza dan Tebing Barat.

Penyelesaian dua negara merujuk kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat yang hidup berdampingan secara aman dengan Israel, selaras dengan pendirian yang sekian lama disokong oleh PBB dan sebahagian besar komuniti antarabangsa.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa negara Barat meningkatkan tekanan diplomatik bagi menghidupkan semula proses damai Palestin-Israel, di samping mendesak akses bantuan kemanusiaan yang lebih meluas kepada penduduk Gaza.

Kenyataan Carney dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kanada untuk menggalakkan penyelesaian politik jangka panjang terhadap konflik yang telah berlarutan selama beberapa dekad itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement