BALTIMORE: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas terkena tembakan sesat dalam satu pertikaian mengenai petak parkir di sebuah taman di Baltimore, Amerika Syarikat (AS), hujung minggu lalu.
Mangsa, Khloe Ishway, dipercayai terkena tembakan ketika dua lelaki melepaskan tembakan antara satu sama lain berhampiran kawasan kanak-kanak bermain bola sepak Amerika.
Pesuruhjaya Polis Baltimore, Richard Worley, berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran antara dua lelaki yang kemudian saling melepaskan tembakan.
"Kami percaya berlaku pertengkaran antara dua lelaki dan kedua-duanya melepaskan tembakan. Dalam insiden itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun terkena tembakan dan maut," katanya pada sidang media.
Beliau berkata Khloe bukan sasaran serangan tersebut.
Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital manakala empat lagi mangsa dewasa yang turut terkena tembakan berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan mengancam nyawa.
Polis kini memburu sekurang-kurangnya dua suspek dan setakat ini belum membuat sebarang tangkapan.
Datuk Bandar Baltimore, Brandon Scott, menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang amat menyedihkan.
"Dua lelaki dewasa bertengkar dan kini seorang kanak-kanak berusia 12 tahun telah kehilangan nyawa. Perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku," katanya.
Ibu mangsa, Kristin Reese, menuntut keadilan untuk anaknya yang disifatkan sebagai seorang kanak-kanak ceria yang gemar menari, mendengar muzik dan meluangkan masa bersama keluarga.
Nenek mangsa, Donna Reese, turut menggambarkan Khloe sebagai cucu yang penyayang dan sentiasa menghubunginya setiap hari.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jumlah sebenar tembakan yang dilepaskan serta motif pertikaian tersebut.